DUNIA

MALAYSIA HARGAI PENDIRIAN BERKECUALI EU DALAM KONFLIK ASIA BARAT - MOHAMAD

27/04/2026 11:39 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April (Bernama) -- Malaysia amat menghargai pendirian berkecuali Kesatuan Eropah (EU) dalam konflik Asia Barat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata campur tangan asing hanya akan merumitkan lagi konflik itu dan menyukarkan usaha untuk menamatkan peperangan.

“Seluruh dunia merasai impaknya,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Kaja Kallas, di luar Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-EU (AEMM) ke-25 di sini pada Isnin.

Menyatakan perkara itu kepada Kallas, Mohamad berkata krisis bekalan global berikutan konflik di Asia Barat memberi kesan besar kepada seluruh dunia, namun tempiasnya lebih dirasai negara-negara rantau Asia.

Beliau berkata konflik Asia Barat juga dijangka menjadi tumpuan perbincangan pada AEMM.

“Esok kami Menteri-Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat, pelbagai isu hubungan dua hala blok EU dan ASEAN (akan dibincangkan). Yang pentingnya, kita nak hubungan ASEAN dan EU bertambah baik,” katanya.

Mohamad dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Gala AEMM Ke-25.

Selain mesyuarat utama AEMM Ke-25 esok, beliau dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Cyprus, Republik Czech dan Lithuania.

Brunei yang merupakan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-EU bagi tempoh 2024 hingga 2027 merupakan tuan rumah AEMM Ke-25. 

 -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan