AM

PERAK TIDAK KOMPROMI KES BULI DI MRSM

27/04/2026 06:16 PM

IPOH, 27 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli melibatkan pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di negeri ini yang didakwa terlibat dalam insiden menggunting dan merosakkan pakaian pelajar lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata sesiapa sahaja yang terlibat dengan insiden berkenaan akan dikenakan tindakan sewajarnya.

"Sesiapa yang buat, dia kena terima akibat sebab kita tidak mahu budaya buli atau samseng ini menular dalam kalangan anak-anak kita.

"Jadi, kalau pelajar yang terbabit dengan kes buli ini didapati bersalah, dia kena terimalah hukuman berdasarkan peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak sekolah dan juga Kementerian Pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program One Third High Terima Kasih Cikgu dan Baiah Sijil Pelajaran Malaysia 2026 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar di sini, hari ini.

Pada 25 April lepas, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelajar MRSM yang didakwa terlibat dalam kes buli menggunting dan merosakkan pakaian pelajar lain telah dikenal pasti dan pihak pengurusan maktab terlibat telah pun menghantar laporan berhubung insiden itu.

Sebelum ini, seorang pengguna laman sosial Threads berkongsi keadaan pakaian adiknya, pelajar tingkatan satu di sebuah MRSM koyak dan rosak, dipercayai akibat perbuatan buli selain beberapa lagi barangan peribadi juga dirosakkan.

Hantaran itu mendapat respons Asyraf Wajdi yang menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli dalam institusi di bawah seliaan MARA dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar terbabit.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan