ISKANDAR PUTERI 11 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) melaksanakan operasi khas di perairan seluruh negara sempena Aidilfitri bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Timbalan Komander (Operasi/Risik) Pasukan Polis Marin Bukit Aman ACP Zulkifli Mahmood berkata operasi di perairan Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak memberi tumpuan kepada penyeludupan barangan kawalan, kontraban dan kes berkaitan imigresen.
Beliau berkata operasi dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Anggota telah diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan disiplin tinggi dan mengekalkan integriti semasa bertugas terutama ketika menjalankan penguatkuasaan di kawasan perairan sempadan,” katanya.
Zulkifli berkata demikian selepas menghadiri pertemuan dan majlis berbuka puasa dengan Pasukan Polis Pengawal Pantai Singapura di perairan Selat Johor Barat di sini semalam di bot ronda PA14 milik PPM.
Turut hadir Komander PPM Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal dan Komander Polis Singapore SCGP Ang Eng Seng.
Beliau berkata anggota PPM tetap bertugas pada musim perayaan dan penugasan anggota disusun mengikut lima wilayah operasi melibatkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
“Susunan ini bagi memastikan setiap masa terdapat anggota bertugas dan bersedia menghadapi sebarang penugasan luar jangka termasuk membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya.
Zulkifli berkata setakat ini kebanyakan rampasan yang direkodkan melibatkan barangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 seperti diesel dan petrol selain kes penyeludupan rokok serta barangan kontraban lain.
“Memandangkan sekarang harga diesel dan petrol berubah-ubah, jadi ia memberi peluang kepada penyeludup untuk mengaut keuntungan dan disebabkan itu penguatkuasaan terus dipertingkat,” katanya.
Beliau berkata walaupun berdepan pelbagai risiko di perairan dan sempadan negara, pegawai serta anggota PPM sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi dalam menjaga keselamatan negara
-- BERNAMA
