KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 10 sen kepada RM3.25 seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Mac ini, susulan peningkatan harga minyak dunia.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pula naik sebanyak lapan sen kepada RM3.12 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Selain itu, harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak lapan sen kepada RM2.67 seliter.
Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI95 pula kekal pada paras RM1.99 seliter.
“Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-- BERNAMA
