MELAKA, 6 MAC (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini mengadakan Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat, antara lain sebagai simbolik pengukuhan hubungan dua hala Malaysia dengan pihak berkuasa daerah di Indonesia, khususnya di wilayah Jambi.
Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin berkata penganugerahan itu dilihat sebagai jambatan penting dalam mempertingkat kerjasama erat serta hubungan yang sedia terjalin antara Pengakap Malaysia dengan pihak berkuasa wilayah Jambi.
"Ia juga menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat ‘brotherhood of scouting’ yang merentas sempadan demi kemajuan dan kesejahteraan serantau.
"Penganugerahan ini manifestasi penghargaan tertinggi daripada PPM terhadap jasa, sokongan dan komitmen luar biasa yang telah dicurahkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam merangkap Penaung PPM.
Mohd Zin berkata hubungan baik yang terjalin sangat signifikan, terutamanya dalam konteks memperluas jaringan komuniti, memupuk persefahaman serantau, dan menyemarak semangat persaudaraan Pengakap yang merentas sempadan, demi keamanan, kemajuan dan kesejahteraan bersama.
"Pihak kami melihat potensi yang amat luas untuk melaksanakan lebih banyak program pembangunan belia, pertukaran budaya, latihan kepimpinan serta kerjasama khidmat masyarakat yang mampu memberikan impak positif kepada ahli Pengakap kedua-dua negara, " katanya.
Antara pengisian utama majlis itu adalah penganugerahan bintang-bintang perkhidmatan tertinggi, iaitu Bintang Semangat Rimba, Emas dan Bintang Semangat Rimba, Perak.
Gabenor Jambi, Dr Al Haris telah dianugerahkan Bintang Semangat Rimba, Emas. Beliau telah diwakili oleh Dr Sudirman, manakala Wali Kota Jambi, Dr H Maulana M.K.M menerima Bintang Semangat Rimba, Perak.
Bintang Semangat Rimba, Emas ialah anugerah ketiga tertinggi dalam susunan anugerah perkhidmatan PPM yang memfokuskan kepada kepimpinan, yang mula dianugerahkan pada 1958.
Sementara itu, Bintang Semangat Rimba, Perak, ialah anugerah keempat tertinggi dalam susunan perkhidmatan yang mula dianugerahkan pada 1964.
-- BERNAMA
