DUNIA

INDONESIA AKAN MULAKAN PENGHANTARAN PERTAMA BERAS HAJI KE ARAB SAUDI

24/02/2026 11:38 AM

JAKARTA, 24 Feb (Bernama) -- Indonesia akan mengeksport 2,280 tan beras ke Arab Saudi untuk keperluan jemaah haji negara itu, menandakan penghantaran pertama beras keluaran domestik ke luar negara khusus bagi ibadah haji tahunan berkenaan.

Pengarah Urusan syarikat milik kerajaan, Bulog, Ahmad Rizal Ramdhani berkata penghantaran itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, masing-masing pada 28 Feb dan 4 Mac ini.

“Penghantaran dua peringkat ini bertujuan untuk memastikan keselamatan logistik serta mengekalkan bekalan simpanan sekiranya berlaku gangguan penghantaran, dengan perjalanan laut dianggarkan mengambil masa lima hingga enam minggu,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA.

Ahmad Rizal berkata konsainan itu dianggarkan bernilai kira-kira Rp150 bilion dan akan berlepas dari Pelabuhan Tanjung Priok di sini ke Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi, sebelum pengedaran seterusnya kepada perkhidmatan katering haji dikendalikan oleh pengimport tempatan di negara berkenaan.

Beliau berkata beras itu memenuhi spesifikasi premium yang diminta rakan kerjasama dari Arab Saudi, sambil menambah penghantaran berkenaan membuktikan keupayaan Indonesia untuk membekalkan beras premium secara kendiri untuk jemaah hajinya tahun ini.

Beliau turut memberi jaminan penghantaran itu tidak akan menjejaskan bekalan beras domestik kerana ia disokong oleh perancangan stok yang teliti serta rizab nasional yang mencukupi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan