JENAYAH & MAHKAMAH

CUBAAN SELUDUP MASUK 32 EKOR LEMBU BERJAYA DIPATAHKAN DI SEMPADAN SUNGAI GOLOK

25/02/2026 12:16 AM

KOTA BHARU, 24 Feb (Bernama) -- Cubaan menyeludup masuk 32 ekor lembu berjaya dipatahkan oleh Tentera Darat Malaysia dalam satu operasi di kawasan sempadan Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas awal pagi tadi.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan itu hasil tindakan pasukan yang melaksanakan kawalan sempadan di kawasan tanggungjawab briged kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Kenyataan itu memaklumkan pada 5.15 pagi, pasukan rondaan mengesan tujuh lelaki membawa lembu terbabit menyeberangi tebing dari Thailand ke Malaysia melalui Sungai Golok.

"Di sebelah Malaysia pula, sebuah lori dikesan dipercayai untuk mengangkut lembu berkenaan bersama dengan 10 lelaki yang dipercayai menunggu untuk melaksanakan proses pemindahan.

"Pasukan operasi kemudian mengepung kawasan itu dan menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 36 hingga 43 tahun... individu lain dilaporkan melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke Thailand," menurut kenyataan itu.

Selain 32 ekor lembu yang dipercayai cuba diseludup tanpa dokumen sah, turut dirampas sebuah lori jenis Isuzu, sebuah kereta Proton Saga dan lima motosikal yang dianggarkan bernilai RM448,350.

Laporan polis berkaitan rampasan haiwan ternakan itu dibuat di Balai Polis Lubok Stol, Rantau Panjang.

Haiwan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Rantau Panjang manakala kes itu disiasat oleh Kastam Diraja Malaysia di ICQS Bukit Bunga.

Menurut kenyataan itu, pasukan operasi terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan tidak akan berkompromi dengan aktiviti berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan