KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menyiapkan sembilan laporan Pelan Induk dan Kajian Kebolehlaksanaan untuk memandu perancangan serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan tersebut disediakan bagi meneruskan projek pembangunan wilayah tertinggal termasuk Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, Malaysia yang telah mencadangkan empat projek pemangkin dan 27 projek cadangan.
“Selebihnya adalah Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah melibatkan lima daerah utama iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Tongod dan Nabawan seluas 2.3 juta hektar tanah,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat SEDIA di sini hari ini.
Hajiji berkata SEDIA menerima peruntukan RM3.7 bilion daripada kerajaan Persekutuan sejak penubuhannya bermula dengan pelaksanaan RMK9, termasuk RM646.3 juta yang diluluskan menerusi Kementerian Ekonomi sepanjang RMK12.
Beliau mengalu-alukan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dalam RMK13 untuk meningkatkan keseimbangan kemajuan wilayah yang ketinggalan melalui penerokaan pembangunan koridor dan hab pengeluaran khusus bagi memanfaatkan potensi ekonomi kawasan setempat.
Ketua Menteri berkata pencapaian SEDIA dalam melaksanakan projek pembangunan utama di bawah inisiatif SDC dilihat membanggakan berdasarkan kepada Laporan Pencapaian Outcome Projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) Rancangan Malaysia Ke-9 hingga Rancangan Malaysia Ke-11.
Hajiji berkata SEDIA juga diberikan mandat untuk melaksanakan inisiatif MADANI melibatkan 1,230 projek dalam RMK12 bernilai RM102.3 juta antara lain Pembasmian Kemiskinan, “People Centric”, Inisiatif Kemudahan Rakyat dan Inisiatif Pendapatan Rakyat.
“Rekod pelaksanaan projek yang berjaya oleh SEDIA sejak RMK9 hingga RMK12 membuktikan agensi ini dapat mempercepat proses pelaksanaan dan membuat penilaian impak di Sabah, sebuah negeri strategik dan berpotensi,” katanya.
-- BERNAMA
