TANAH MERAH, 11 Feb (Bernama) -- Bekas Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Abdul Rahman Ahamed, 78, meninggal dunia di kediamannya di Taman Seri Jelatok, di sini, kira-kira 4.30 pagi tadi.
Isteri kedua arwah, Ramaini Jusoh, 61, berkata jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belimbing di sini selepas solat Zuhur.
"Arwah terlantar dan tidak boleh bangun sejak 16 hari lepas akibat pelbagai masalah kesihatan yang dihadapi seperti kanser prostat, jantung, paru-paru dan darah tinggi.
"Awal pagi tadi anak tiri arwah, Mohd Khairul Anam Adnan, 35, terjaga dari tidur dan melihat arwah sudah tidak bernafas sebelum memaklumkan kepada kami sekeluarga," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya hari ini.
Abdul Rahman meninggalkan dua balu, 13 anak, 11 cucu dan dua cicit.
Beliau berkhidmat dengan Bernama selama 32 tahun, bermula sebagai Pembantu Perpustakaan pada 11 Mei 1971 dan bersara wajib pada 27 Jan 2004 dengan jawatan terakhir sebagai jurufoto.
-- BERNAMA
