AM

PELAKON ALONG EYZENDY MENINGGAL DUNIA SELEPAS TIGA HARI DIRAWAT DI ICU

08/02/2026 09:15 AM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Pelakon Along Eyzendy meninggal dunia pada 12.16 tengah malam tadi selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.

Berita kematian Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, disahkan pelakon Azhar Sulaiman dalam perkongsian melalui  Facebook awal pagi ini.

“Semoga Allah Taala akan mencucuri rahmat ke atas roh arwah serta menempatkan beliau bersama orang-orang beriman. Salam takziah buat isteri, anak-anak serta seluruh keluarga arwah dan semoga akan bertabah menghadapi ketentuan yang sedih ini.

“Behar (Azhar) dan Namron (pengarah dan pelakon) pelawat terakhir. Air mata arwah masih mengalir ketika kami melihat beliau,” katanya.

Menurut laporan media, Along dirawat di hospital sejak 30 Jan lalu selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan yang disyaki berpunca daripada jangkitan pada sten dalam saluran hempedunya, sebelum dipindahkan ke ICU dan ditidurkan pada 5 Feb.

Pelakon itu sebelum ini menderita penyakit buah pinggang dan pernah menjalani pemindahan organ itu yang didermakan isterinya, Hamidah Mohd Yatim pada 2021.

Dalam pada itu, pelakon Zalif Sidek dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan jenazah Allahyarham telah selamat dimandikan dan disolatkan di hospital berkenaan sebelum dibawa ke Pasir Gudang, Johor untuk urusan pengebumian.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Johor. Mohon orang ramai mendoakan agar segala urusan dipermudah serta roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Penerbit dan pengarah teater Siti Rohaya Atan menerusi hantaran dalam media sosial yang sama, menyifatkan pemergian Along sebagai satu kehilangan besar buat dirinya yang telah mengenali Allahyarham lebih 25 tahun.

Beliau juga sempat menitipkan pesan kepada keluarga Allahyarham agar terus kuat dan reda menerima ketentuan Allah, sebelum meninggalkan hospital pada 11 malam tadi, selepas hampir 11 jam berada di sisi Allahyarham.

Along memulakan kerjaya sebagai peniup trompet sebelum menceburi dunia lakonan pada 2003.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham membintangi pelbagai filem termasuk Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Ustaz Mu Tunggu Aku Datang dan Mat Moto, selain aktif dalam drama televisyen seperti Bini-Bini Perkasa, Keranamu Laila dan Sanggul Beracun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan