KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan dan hak negara termasuk di Laut China Selatan serta menolak sebarang tuntutan berlebihan berasaskan peta Sembilan Garis Putus (Nine-Dash Line) oleh China.
Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Malaysia tidak mengiktiraf apa-apa tuntutan meliputi kawasan maritim negara seperti yang terkandung dalam Peta Baharu Malaysia 1979 dan akan terus mengemukakan nota bantahan diplomatik sekiranya berlaku pencerobohan oleh kapal atau aset milik mana-mana negara.
Beliau berkata sebarang gangguan terhadap aktiviti dalam zon maritim Malaysia, kerajaan kekal komited mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, selain menyatakan komitmen dalam rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.
“COC dilihat sebagai kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan dan bukan dokumen untuk menyelesaikan pertikaian tuntutan maritim.
“Pertikaian maritim seharusnya diselesaikan melalui mekanisme sedia ada di bawah undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982. Malaysia komited memastikan COC yang substantif dan efektif dapat dimuktamadkan dalam tempoh yang diharapkan,” katanya menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam konteks lebih luas, beliau menegaskan Malaysia tidak menerima pendekatan bahawa might is right dalam sistem antarabangsa, sebaliknya kekal komited kepada sistem multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
Lukanisman berkata Malaysia mengekalkan hubungan diplomatik yang neutral, berprinsip dan berasaskan saling menghormati dengan semua kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS) tanpa menjejaskan kemandirian dasar luar negara.
Berhubung isu Palestin, beliau menegaskan Malaysia kekal teguh bersama perjuangan rakyat Palestin dan tidak melihat isu itu sebagai isu agama, sebaliknya adalah isu kemanusiaan dan hak asasi manusia.
“Dalam menjelaskan pendirian kita, Malaysia memilih untuk tidak memberikan sokongan serta-merta kerana Malaysia mengambil pendekatan menilai pelan itu terlebih dahulu bagi menjamin hak mutlak rakyat Palestin, termasuk penamatan penjajahan dan penubuhan negara merdeka.
“Malaysia tidak akan menggadaikan pendirian berprinsip semata-mata untuk berada di meja rundingan yang tidak menjamin keadilan sebenar bagi rakyat Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia menentang sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara lain termasuk tindakan terhadap Venezuela serta menegaskan isu kedaulatan wilayah seperti Greenland perlu diselesaikan secara aman selaras undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, Malaysia akan terus memperkukuh peranan dalam platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai negara berprinsip dan konsisten dalam mempertahankan kedaulatan, undang-undang antarabangsa serta memperjuangkan keamanan dan kestabilan global,” katanya.
-- BERNAMA
