KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) menerima kira-kira 30 hingga 35 permohonan yang berkaitan dengan stablecoin dan inovasi aset digital, kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata beberapa projek, termasuk inisiatif stablecoin yang berasaskan ringgit, kini sedang menjalani ujian di bawah pengaturan sandbox pengawalseliaan.
Abdul Rasheed berkata ujian sandbox dijalankan di bawah Hab Inovasi Aset Digital BNM, yang membolehkan para pemain industri menguji penyelesaian kewangan dengan fleksibiliti kawal selia.
Stablecoin dan aset-aset digital dijangka terus menjadi sebahagian daripada ekosistem kewangan, yang memerlukan pihak kawal selia untuk menerima pakai pendekatan yang seimbang, katanya.
“Dari segi stablecoin, sudah tentu ini adalah sesuatu yang kita lihat sedang bergerak ke arah penggunaannya; jalan ke arah penggunaan aset ini adalah sesuatu yang akan kekal dan kita perlu menerimanya,” kata Abdul Rasheed.
Beliau berkata demikian dalam sesi panel membincangkan tajuk “Fiskal dan Dasar Monetari”, bersama-sama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan dimudah cara oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad'l Mohamed di Forum Ekonomi Malaysia 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata BNM menyasarkan untuk menyokong inovasi sambil memastikan kestabilan kewangan dan melindungi pengguna.
“Itulah sebabnya kami berusaha mewujudkan persekitaran di mana perkara ini dapat berkembang, inovasi boleh berlaku, stablecoin boleh diperkenalkan, tetapi dengan batas kawalan untuk memastikan kestabilan tidak terjejas. Kawalan untuk memastikan pengguna terus dilindungi.
“Kami berhasrat untuk memastikan aset-aset seperti stablecoin digunakan bagi menyokong kes-kes penggunaan dalam perniagaan yang sah dan aktiviti ekonomi sebenar, bukannya untuk tujuan spekulatif,” katanya.
Abdul Rasheed berkata penyelesaian yang melengkapkan ujian sandbox berpotensi untuk dikomersialkan kelak.
“Setelah diuji dan dianggap boleh digunakan, ia akan keluar daripada sandbox dan dilancarkan kepada umum,” katanya.
-- BERNAMA
