AM

LEBIH 800,000 INDIVIDU KERJA SENDIRI CARUM SKIM LINDUNGAN KENDIRI

05/02/2026 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak 869,913 individu yang bekerja sendiri telah berdaftar dan mencarum secara aktif di bawah Skim Lindung Kendiri dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 31 Dis lepas. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 299,674 adalah pekerja sektor gig termasuk e-panggilan.

Beliau berkata angka keseluruhan itu mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pekerja sendiri terhadap kepentingan perlindungan sosial, terutamanya dalam landskap pekerjaan yang semakin dinamik dan berubah.

"Perkembangan pesat digitalisasi telah mengubah struktur pasaran buruh negara apabila semakin ramai generasi muda dan golongan berpendapatan rendah memilih pekerjaan fleksibel atau gig sebagai sumber pendapatan utama," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung kaedah yang digunakan bagi menilai impak jangka panjang skim perlindungan sosial bidang GIG.

Menjelas lanjut, Khairul Firdaus berkata terdapat perbezaan ketara antara pekerja tetap dan pekerja gig khususnya daripada segi liputan keselamatan sosial.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan memperkukuh perlindungan melalui Skim Lindung Kendiri yang dikendalikan Perkeso selaras dengan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Beliau berkata skim berkenaan memberi perlindungan menyeluruh terhadap bencana pekerjaan sendiri, termasuk penyakit dan kemalangan perjalanan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Antara manfaat yang disediakan ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan, pengurusan jenazah serta pinjaman pendidikan.

Selain perlindungan sosial, kementerian juga menyediakan platform peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan pekerja gig mempunyai daya tahan serta kelangsungan pendapatan dalam jangka panjang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan