AM

JUMLAH PELATIH PLKN DITINGKATKAN 25,000 ORANG SETAHUN

17/01/2026 03:42 PM

PEKAN, 17 Jan (Bernama) -- Jumlah pengambilan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditingkatkan kepada 25,000 orang setahun melibatkan pembukaan 13 kem latihan di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Pelatih dan Operasi Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Kolonel Mazlizan Shaikh Osman berkata untuk kemasukan pelatih siri pertama 2026, sebanyak 750 tempat disediakan iaitu 500 bagi pelatih lelaki di Kem 505 Askar Wataniah di sini manakala 250 pelatih wanita di Kem 515 Askar Wataniah di ibu negara.

“Sekarang pengambilan pelatih hanya melibatkan dua kem ini dan perancangan sedang dilaksanakan bagi menambah 11 kem lagi dengan setiap kem boleh menempatkan 300 ke 700 orang untuk satu siri latihan.

"Kesemua 13 kem ini dijangka dapat dibuka sepenuhnya menjelang penghujung 2027 yang boleh menempatkan 25,000 orang bagi empat siri latihan setahun,” katanya ketika ditemui pemberita pada pendaftaran PLKN 3.0 Siri 1/ 2026 di Kem 505 Askar Wataniah di Sungai Miang di sini hari ini.

Pada tahun ini, Mazlizan berkata siri kedua program yang bermula 28 April hingga 8 Jun masih melibatkan dua kem manakala siri ketiga 11 Julai hingga 24 Ogos akan melibatkan penambahan dua lagi kem iaitu di Gemas, Negeri Sembilan dan Bukit Keteri, Perlis. 

"Selain itu, tambahan satu lagi kem pada siri keempat 3 Okt hingga 16 Nov di Kluang, Johor," katanya. 

Sementara itu, seorang pelatih Ivan Choong,18, dari Perlis berkata perasaannya bercampur baur setelah terpilih untuk menjalani latihan berkenaan. 

“Gembira dapat masuk PLKN sebab boleh berjumpa dengan ramai kawan baharu daripada pelbagai kaum... yang sedih pula kali pertama saya tak dapat sambut Tahun Baharu Cina dengan keluarga,” katanya.

Kesedihan tidak dapat menyabut perayaan bersama keluarga itu turut dikongsi Khor Jia Onn,18, dari Cameron Highlands namun menerima dengan hati terbuka kerana PLKN baginya merupakan peluang berharga.  

Bagi Ahmad Darwis Haiqal Yuslizar, 18, program berkenaan merupakan platform untuk mencuba sesuatu yang baharu terutama melibatkan ilmu asas ketenteraan seperti latihan menembak di samping dapat meningkatkan disiplin diri. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan