Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap permintaan eksport yang lemah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata konflik Amerika Syarikat-Iran bagaimanapun dijangka menyokong sentimen pasaran dalam masa terdekat.
“Kami mengesan paras sokongan melebihi RM4,100 dengan paras rintangan pada RM4,250 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak Mac 2026 dan April 2026 masing-masing susut RM9 kepada RM4,071 dan RM4,155 satu tan manakala Mei 2026 susut RM7 kepada RM4,179 satu tan.
Kontrak Jun 2026 susut RM5 kepada RM4,189 satu tan manakala Julai 2026 dan Ogos 2026 masing-masing rendah RM4 kepada RM4,188 dan RM4,180 satu tan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 76,192 lot daripada 85,265 pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 221,298 kontrak daripada 225,871 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan kekal tidak berubah kepada RM4,100 satu tan.
-- BERNAMA
