JENAYAH & MAHKAMAH

BRIGED TENGGARA PGA CATAT RAMPASAN KONTRABAN LEBIH RM300 JUTA 

20/12/2025 08:02 PM

TUMPAT, 20 Dis (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merekodkan nilai rampasan kontraban bernilai RM322.2 juta menerusi OPS Taring Wawasan Kelantan bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Dis tahun ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Fisol Salleh berkata sepanjang tempoh itu juga sebanyak 1,897 kertas siasatan dibuka melibatkan 1,766 tangkapan atas pelbagai kesalahan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

“Pencapaian ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan serta komitmen tinggi PGA walaupun berdepan cabaran cuaca ketika Monsun Timur Laut (MTL) gelombang pertama baru-baru ini.

“Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, operasi penguatkuasaan di sempadan tetap diteruskan dan mencatatkan hasil yang memberangsangkan, ini membuktikan penyelarasan antara agensi penguat kuasa berada pada tahap yang baik,” katanya selepas melakukan lawatan  kerja di Markas Taktikal PGA Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Beliau berkata anggota PGA akan terus dikerahkan bagi membantu kontinjen polis negeri, khususnya dalam operasi pemindahan mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas teruk akibat MTL.

“Kerjasama dan koordinasi rapat antara PGA dan kontinjen polis negeri amat penting bagi memastikan usaha menyelamat, pemindahan serta penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan sepanjang MTL,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan