AM

PINDAAN AKTA IMIGRESEN WAJIBKAN PENYERAHAN MAKLUMAT PENUMPANG

17/12/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pengendali kapal laut, pesawat dan kereta api yang tiba di pelabuhan, lapangan terbang atau pintu masuk ke Malaysia akan diwajibkan mengemukakan rekod nama dan maklumat penumpang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata peruntukan itu termaktub dalam Rang Undang-Undang (RUU) Imigresen (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Negara hari ini.

“Jika gagal mengemukakan rekod nama penumpang, maklumat penumpang awal, maklumat palsu atau maklumat mengelirukan maka ia merupakan suatu kesalahan,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, sebelum ia dibahas 12 senator.

Shamsul Anuar berkata RUU itu juga memperuntukkan pemeriksaan terhadap kapal laut, pesawat udara atau kereta api bagi menentukan kehadiran atau ketidakhadiran orang lain dalam pengangkutan tersebut serta kewajipan mengemukakan dokumen berkaitan.

Beliau berkata pindaan itu turut mewajibkan pemandu setiap kereta api yang tiba di Malaysia untuk memberhentikan pengangkutan di pintu masuk yang dibenarkan mengikut Seksyen 18(a).

Beliau berkata keseluruhan proses kemasukan serta pelepasan dapat dijalankan lebih telus dan integriti dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengukuhkan pemantauan bagi kaunter manual.

“Semua pegawai Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diwajibkan memakai kamera badan ketika bertugas manakala kaunter pula dipantau dengan kamera litar tertutup yang dilengkapi analisis video berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Menurutnya, langkah itu dapat mengesan sebarang tingkah laku mencurigakan lebih awal sekali gus menutup ruang untuk amalan tidak berintegriti, sementara KDN kekal komited melaksanakan kawalan dan pemeriksaan ketat di pintu masuk negara.

Dewan Negara hari ini turut meluluskan RUU Pasport (Pindaan) 2025. Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan