KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melupuskan barang kes bernilai lebih RM4.5 juta melibatkan 309 kes dalam tempoh dua tahun bermula Jan 2024 hingga Dis 2025.
Pengarah KPDN WPKL Mohd Sabri Seman berkata pelupusan itu dikategorikan sebagai Pelupusan Mega KPDN Kuala Lumpur 2025 memandangkan ia adalah nilai pelupusan tertinggi dalam tempoh dua tahun semasa termasuk pelupusan hari ini bernilai melebihi RM1 juta melibatkan 54 kes.
“Pelupusan ini mencerminkan komitmen berterusan KPDN WPKL dalam membersihkan dan menguruskan barang kes eksibit berlandaskan proses perundangan serta integriti di samping memastikan barangan yang tidak mematuhi undang-undang tidak kembali ke pasaran,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata pelupusan melibatkan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Antara barangan yang dilupuskan ialah pakaian dan aksesori fesyen seperti baju, seluar, topi, kasut, selipar, tali pinggang, beg, dompet dan jam tangan, serta komponen elektronik termasuk pengecas dan bateri serta aksesori telefon.
“Barangan lain juga termasuk produk kesihatan dan kecantikan, produk pembersihan dan penjagaan rumah serta barangan alat ganti dan penyelenggaraan kenderaan seperti minyak enjin, penapis air, penapis udara dan penapis minyak,” katanya.
Mohd Sabri berkata tindakan pelupusan itu memberi manfaat besar kepada masyarakat dengan menghalang barangan tidak patuh undang-undang daripada kembali ke pasaran, selain meningkatkan kesedaran serta pendidikan kepenggunaan agar pengguna lebih peka terhadap hak dan keselamatan mereka.
Beliau berkata tindakan itu turut melindungi alam sekitar melalui kaedah pelupusan terkawal dan berhemah, menjaga kesihatan awam daripada risiko penggunaan barangan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan serta melindungi industri dan produk tempatan daripada persaingan tidak adil,” katanya.
Dalam tempoh 2025, beliau berkata KPDN WPKL merekodkan 584 kes penguatkuasaan dengan jumlah nilai rampasan mencecah RM4,660,328.06 manakala nilai kompaun yang dikenakan berjumlah RM825,500 dan denda sebanyak RM255,658.
“Jenis barangan dengan kuantiti tertinggi yang dilupuskan adalah daripada kategori pakaian dan aksesori fesyen di bawah Akta Cap Dagangan 2019 melibatkan 24,800 unit,” katanya.
Pelupusan Mega yang diadakan di stor penyimpanan eksibit KPDN WPKL itu dilaksanakan oleh Mohd Sabri bersama Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN WPKL Mohd Shahran Mohd Arshad.
Kesemua barangan yang dilupuskan telah selesai menjalani prosiding mahkamah dan mendapat perintah atau kebenaran pelupusan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN, dengan proses pelupusan dilaksanakan secara sistematik serta mematuhi Prosedur Operasi Standard Pengurusan Eksibit (Barang Kes).
Sementara itu, Mohd Sabri berkata KPDN Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barangan pada tahun hadapan dengan memberi tumpuan kepada sindiket berskala besar.
“Fokus tambahan lain untuk tahun hadapan, kami akan lebih menyasarkan usaha membanteras kartel dan sindiket berskala besar yang melibatkan penyelewengan dan ketirisan barangan kawalan,” katanya sambil menambah strategi penguatkuasaan akan diperkukuh dengan sasaran lebih berfokus terhadap rangkaian sindiket utama.
-- BERNAMA
