EKONOMI

HARGA MSM DIJANGKA NAIK KEPADA RM4,500 SATU TAN MENJELANG MUSIM PERAYAAN AKAN DATANG

20/11/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mendapat sokongan kukuh pada paras RM4,100 hingga RM4,200 satu tan pada Disember 2025 dan berpotensi meningkat kepada sekitar RM4,500 satu tan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Majlis itu berkata unjuran berkenaan didorong oleh permintaan import yang stabil menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan, manakala ketidakpastian dasar di Indonesia terus menyokong harga minyak sawit.

“Menerusi laporan pasaran, kerajaan Indonesia dijangka menyelaraskan duti eksport untuk memastikan bekalan bahan mentah domestiknya mencukupi. Masa Indonesia melaksanakan peralihan kepada mandat biodiesel yang lebih tinggi – sama ada B45 atau B50 – kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi jumlah bekalan untuk dieksport pada 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pengeluaran minyak sawit Malaysia melonjak 11 peratus kepada 203,000 tan pada Oktober, mencatatkan paras bulanan tertinggi dalam tempoh sedekad. Sabah menerajui pertumbuhan dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 19.5 peratus kepada 72,000 tan, diikuti Sarawak yang meningkat 14.6 peratus kepada 61,000 tan, manakala Semenanjung Malaysia naik 6.5 peratus kepada 68,000 tan.

“Pengeluaran kukuh pada Oktober disokong oleh musim monsun yang lewat tiba, pembajaan yang lebih baik dan corak hujan yang menggalakkan sepanjang 2024,” kata MPOC.

Eksport pada Oktober juga turut mengukuh, meningkat 18.6 peratus atau 265,000 tan kepada 1.69 juta tan. Sebahagian besar peningkatan itu disumbangkan oleh Sub-Sahara Afrika, dengan eksport mencapai rekod 577,000 tan, iaitu 34 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala eksport ke China bertambah ke paras tertinggi lima bulan sebanyak 110,000 tan.

Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.46 juta tan pada Oktober, paras tertinggi sejak April 2019, meskipun pertumbuhan eksport mengatasi pengeluaran, kata MPOC.

“Kenaikan stok itu bukan sahaja dipacu oleh dinamik pengeluaran atau eksport, tetapi disebabkan penggunaan domestik yang lebih rendah,” katanya.

Majlis itu turut berkata Malaysia mengimport 708,000 tan minyak sawit dari Indonesia antara Januari hingga Oktober 2025, peningkatan 266 peratus berbanding 193,000 tan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Di peringkat global, harga minyak sawit susut empat peratus pada November berikutan paras stok yang terus meningkat, manakala harga minyak bunga matahari, soya dan biji sesawi sebahagian besarnya kekal tidak berubah, sekali gus melebarkan jurang diskaun minyak sawit berbanding minyak campuran itu.

“Sehingga pertengahan November, minyak sawit diniagakan pada diskaun US$120 berbanding minyak bunga matahari dan lebih rendah sebanyak US$48 dan US$34 berbanding minyak soya dan biji sesawi,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan