SUBANG JAYA, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2,102 pemborong, peruncit dan pengilang terpilih di seluruh negara, dibenarkan untuk menambah simpanan bekalan makanan sehingga 30 peratus, sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh (MTL).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kebenaran itu, dikeluarkan melalui pemberian lesen bermula awal bulan ini sehingga akhir musim tengkujuh.
“Melalui kebenaran ini, kita benarkan mereka menyimpan stok lebih banyak. Contohnya, kalau sebelum ini seorang pemborong hanya boleh simpan 1,000 peket gula, kita tambah 30 peratus.
“Langkah ini penting sekiranya berlaku banjir, jalan terputus atau lori tidak dapat masuk ke kawasan tertentu. Bekalan masih dapat diteruskan kerana stok tambahan sudah berada di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran “Lokal Lagi Gempak” bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 di Mydin Subang Jaya, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamad Holdings Sdn Bhd (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
Inisiatif “Lokal Lagi Gempak” bersama Mydin itu, merupakan usaha menyokong kerajaan memperluas capaian produk tempatan melalui penyediaan ruang pasaran yang bermula hari ini hingga Ahad.
Fuziah berkata kementerian itu mengunjurkan peningkatan kira-kira 10 peratus nilai jualan keseluruhan KBBM tahun ini, dengan mencatatkan nilai jualan keseluruhan melebihi RM7.4 bilion.
Beliau berkata peningkatan sebanyak 13.6 peratus itu berbanding RM6.39 bilion pada 2023, disokong beberapa faktor seperti peruntukan kerajaan, inisiatif bersama rakan strategik serta peluasan program melibatkan rangkaian peruncitan utama di seluruh negara.
“Tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk pelaksanaan KBBM dan tahun depan kita menerima tambahan RM10 juta lagi, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026,” katanya.
Beliau berkata KPDN turut menetapkan syarat semua pasar raya asing yang beroperasi di Malaysia wajib memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus unit simpanan stok (SKU), terdiri daripada produk tempatan.
“Setakat ini, pasar raya ini bukan sahaja telah memenuhi syarat tersebut tetapi mereka juga telah membawa produk-produk tempatan ini di rangkaian mereka di luar negara,” katanya.
-- BERNAMA
