Daripada Saraswathi Muniappan
JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang bertemu sebentar di Pusat Konvensyen Sandton, lokasi Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20), diadakan.
Kedua-dua pemimpin berada di sini bagi menghadiri sidang kemuncak itu, dengan China sebagai negara anggota G20, manakala Anwar hadir sebagai tetamu kepada Kepresidenan G20 di bawah Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.
Undangan ke sidang kemuncak itu, yang berlangsung dari 22 hingga 23 Nov disampaikan kepada Perdana Menteri atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Kedua-dua pemimpin sempat bertegur sapa dan berbual sebentar sebelum meneruskan agenda masing-masing.
Negara anggota G20 terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa; pegawai kerajaan Malaysia serta delegasi perniagaan.
Anwar tiba di sini Khamis bagi lawatan kerja selama empat hari, negara kedua dalam rangka lawatan kerja tiga negara beliau ke benua Afrika.
-- BERNAMA
