AM

BELANJAWAN: RM1.2 BILION KOMITMEN PERSEKUTUAN STABILKAN BEKALAN ELEKTRIK SABAH

11/10/2025 10:26 PM

PAPAR, 11 Okt (Bernama) -- Subsidi RM1.2 bilion bagi menstabilan bekalan elektrik di Sabah menggambarkan komitmen, keprihatinan serta usaha berterusan kerajaan Persekutuan membantu menyelesaikan isu bekalan elektrik yang membelenggu negeri itu sekian lama. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata komitmen peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam amat penting bagi menyelesaikan isu legasi itu bersama kerajaan Sabah.

Beliau berkata jumlah itu meliputi RM880 juta subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar iaitu peningkatan berbanding RM700 juta yang diperuntukkan bagi 2025.

“RM189.8 juta diperuntukkan di bawah projek-projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"RM128 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek-projek sambungan bekalan elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan pawagam komuniti 10 Star Cinemas bersama WSG Properities dan WK Konsortium di sini hari ini.

Armizan berkata komitmen berkenaan membuktikan kerajaan Persekutuan mahu menyelesaikan isu legasi ketidakstabilan bekalan elektrik di Sabah, sungguhpun kuasa kawal selia tenaga telah diambil alih oleh kerajaan negeri bermula 2024.

Pengambilalihan itu melalui penyerahan kuasa kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga (EC) sebuah badan berkanun persekutuan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) yang ditubuhkan di bawah kerajaan negeri.

"Sementara itu, majoriti pegangan saham Sabah Electricity (SE) masih kekal dimiliki oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). SE ialah syarikat utiliti bersepadu yang menyediakan perkhidmatan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

Selain itu, peruntukan juga disalurkan bagi memenuhi komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu air melalui peruntukan sejumlah RM1 bilion bermula 2024 hingga 2026. 

"Ini meliputi projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan. Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Armizan berkata inisiatif pelaburan 10Star Cinemas di Sabah amat dialu-alukan dan inisiatif pelaburan ini dianggarkan melebih RM100 juta termasuk membuka enam pawangan di luar bandar Sabah yang telah pun beroperasi.

“Sebagaimana dalam Majlis MoU pada hari ini, dua lagi pawagam, iaitu di Kinarut dan Kundasang akan dibina, masing-masing disasarkan siap dan beroperasi pada 2026 dan 2027.

“Pelaburan 10Star Cinemas di Sabah bukan sekadar perniagaan berorientasikan komersil semata-mata, malah membantu pembangunan sosioekonomi rakyat.

“Selain menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, 10Star Cinemas juga hadir sebagai rakan strategik membangunkan industry kreatif di Sabah,” katanya.

Beliau berkata ini sejajar dengan Program Aspirasi Pembangunan Filem Sabah (APFS) 2026/2027 yang memberi fokus kepada dua elemen penting, iaitu Pembangunan Infra Pawagam dan Pembangunan Karya Muda.

Selain itu, Armizan berkata program Pembangunan Karya Muda ialah program menggalakan pengkarya muda untuk menghasilkan karya filem pendek. 

"Melalui program ini, 10Star Cinemas akan bekerjasama dengan rakan strategik DBAY Film Factory Sdn Bhd dalam mengenal pasti bakat-bakat muda yang layak. Pengkarya muda bakal ditawarkan peluang untuk menjadi produksi filem pendek yang akan ditaja oleh 10Star Cinemas," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan