PAPAR, 12 Okt (Bernama) -- Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon II yang kini mencapai 52 peratus dan dijadualkan siap tahun hadapan, dijangka mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Ahli Parlimen Papar itu berkata biarpun berdepan sedikit cabaran dari segi faktor cuaca seperti hujan lebat dan runtuhan namun proses pembinaannya berjalan mengikut jadual.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan projek tersebut disiapkan pada tahun depan, seperti dijadualkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, di Dewan Kampung Ulu Sapat, dekat sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek LRA Kogopon II mencerminkan komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan isu bekalan air di negeri itu diselesaikan dengan bantuan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata sekiranya ada pihak menyatakan mampu menyelesaikan masalah bekalan air ini dalam tempoh setahun, perkara itu adalah mustahil kerana masalah air adalah masalah legasi yang diwarisi sejak sekian lama.
Beliau berkata pembinaan LRA Kogopon II dilaksanakan pada Ogos 2023 dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, dengan peruntukan kira-kira RM365 juta dan ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Kogopon daripada 40 juta liter setahun (JHL) kepada 80 JHL.
“Kita bekerjasama untuk pastikan projek ini dapat peruntukan melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan Sabah sedang melaksanakan pembinaan muka sauk kedua bagi LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau di Kampung Kabang sebagai langkah mengurangkan gangguan bekalan air di daerah terbabit.
-- BERNAMA