KOTA KINABALU, 12 Okt (Bernama) -- Selepas tujuh hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud sejak 5 Okt, ditamatkan hari ini sehingga ada petunjuk baharu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan bagaimanapun memaklumkan operasi pencarian berkala tetap diteruskan melalui rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Mangsa masih belum ditemukan dan daripada perbincangan dengan semua agensi penyelamat, operasi ditamatkan pada 11:30 pagi hari ini sehingga mendapat petujuk baru,” menurut kenyataan itu.
Operasi yang bermula sejak minggu lepas itu, melibatkan kekuatan 95 anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, bomba, Pasukan Gerakan Udara (Unit Dron), Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Selain itu, operasi turut dibantu penduduk kampung serta operator resort pelancongan di sekitar Pulau Mantanani, yang memainkan peranan penting sepanjang tujuh hari pencarian dijalankan.
Pada 5 Okt dua pelancong warga China, dikenali sebagai Yu Xiapeng, 25, dan Fan Qin, 28, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ketika menginap di Sutera Mantanani Resort, Pulau Mantanani, Kota Belud.
-- BERNAMA