AM

KERAJAAN LULUS RM34.81 JUTA UNTUK BAIKI 137 PONDOK, TAHFIZ SELURUH NEGARA - ANWAR

11/10/2025 07:01 PM

IPOH, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM34.81 juta bagi melaksanakan 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara termasuk lapan di Perak sebagai usaha mengintegrasikan aspek kerohanian serta akhlak dalam sistem pendidikan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan segera kemudahan asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah bagi memastikan keselesaan pelajar di institusi pondok dan tahfiz yang telah lama menjadi benteng kekuatan ilmu serta akhlak umat.

“Beberapa sekolah pondok, kita lihat keadaan itu sangat daif, jadi kita ada urutan beberapa pondok yang kita senaraikan sekarang, ada 137 pondok termasuk lapan pondok di Perak. 

“Ini yang kita bagi keutamaan dulu dan saya sedang merencanakan selepas mengumumkan Belanjawan 2026 semalam, bagaimana boleh kita tambah supaya semua kemudahan itu sampai ke sekolah,” katanya ketika berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berkata keutamaan itu diberikan kerana kerajaan tidak hanya fokus kepada soal kemajuan, tetapi turut memberikan perhatian terhadap pembangunan rohani dan pendidikan anak-anak sejajar aspirasi pembangunan modal insan MADANI.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah tersebut merupakan sebahagian dasar Kerajaan MADANI bagi memulihkan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan sejak 2003.

“Maka sejak 2022, saya ambil alih dengan kerjasama kawan-kawan dalam Kerajaan Perpaduan ini, saya sudah kembalikan balik peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyeru institusi pondok dan tahfiz di negara ini agar melakukan penyesuaian dengan perkembangan semasa dengan menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.

Katanya penguasaan teknologi baharu itu penting bagi memastikan institusi pondok kekal relevan sebagai benteng akidah, akhlak dan pemikiran Islam serta tidak terpinggir dalam gelombang penjajahan bentuk baharu melalui teknologi.

“Pihak pondok dan pesantren harus terima kenyataan bahawa beberapa perubahan harus dilakukan tanpa mengganggu pengajaran tradisional, jadi saya hendak cadangkan supaya ditambah mengenai digital dan AI.

“Kalau pondok tidak menguasai digital teknologi, AI, orang yang menguasai AI itu akan tenggelamkan pondok sehingga penjajahan baharu kerana AI sudah menjadi satu kenyataan di dunia dan kalau kita biar orang luar menguasai, dia tidak jajah seperti dulu tetapi jajah pemikiran serta teknologi kita,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak berhasrat mengubah sistem pengajian tradisional pondok, sebaliknya menekankan penambahbaikan terhadap kemudahan asas, perpustakaan dan makmal sains agar pelajar pondok turut mendapat pendedahan kepada bidang moden.

Beliau juga memaklumkan kerajaan memperkukuh syiar Islam secara menyeluruh menerusi peruntukan RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkannya semalam bagi memartabatkan institusi pendidikan Islam, memperkasakan masjid serta memperluas kefahaman Islam berteraskan prinsip MADANI.

Ia merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan syiar Islam terus tertegak dan dimartabatkan dalam pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan