AM

PEMBINAAN HSA2 DISEGERAKAN, BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERKUKUH PERKHIDMATAN KESIHATAN

11/10/2025 07:48 PM

JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) yang akan disegerakan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berharap semua proses berjalan lancar memandangkan kerja awalan projek berkenaan telah siap pada Ogos lepas.

“Semua kerja awalan telah selesai termasuk kajian, bengkel, reka bentuk dan pengambilan tanah. Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita harap projek tersebut menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Operasi Mega Selamat Paru-Paru di sini hari ini.

 Mengulas lanjut, Ling berkata HSA2 akan dibina di atas tanah seluas 28 hektar di Skudai dan dijangka mengambil masa lebih tiga tahun untuk siap sepenuhnya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat' di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa HSA2 akan dipercepatkan pembinaannya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan