AM

RM25 JUTA PERKUKUH USAHA STAR PACU REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM - KSN

11/10/2025 11:55 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menerusi Belanjawan 2026 akan memperkukuh usaha pasukan itu dalam merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan reformasi dasar serta intervensi strategik secara menyeluruh dan bersepadu.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata STAR kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya yang antara lain menyaksikan kejayaan besar melalui inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi.

Beliau yang memimpin STAR berkata, pelaksanaan reformasi itu menyaksikan lebih 1,000 projek berjaya diselaras, dengan penjimatan kos pematuhan melebihi RM1.1 bilion, sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia dalam senarai Daya Saing Dunia IMD (World Competitiveness Ranking - WCR).

Menurut beliau, inisiatif tersebut memberi kesan langsung kepada rakyat, antaranya melalui pelaksanaan Kiosk Sentuhan MADANI yang memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kerajaan secara bersepadu.

“STAR akan terus memberi tumpuan untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dengan menekankan penghayatan nilai sebagai teras hasil (outcome), serta pembangunan kompetensi bakat dalam bidang baharu seperti kriptografi, teknologi kuantum, futures thinking dan scenario planning,” katanya kepada Bernama.

Shamsul Azri berkata, tumpuan turut diberikan kepada usaha merekayasa struktur organisasi secara strategik dan memperhebat pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen kerajaan menyalurkan peruntukan kepada STAR dalam Belanjawan 2026, yang akan menumpukan kepada pendigitalan menyeluruh dalam urusan rakyat serta mempercepat pembangunan infrastruktur dan inovasi baharu.

Katanya lagi, penjawat awam menyahut cabaran Perdana Menteri untuk mempercepat proses dan prosedur kerja, selain berusaha merekayasa semula sistem, meruntuhkan tembok silo antara agensi dan menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan Belanjawan 2026 dengan jumlah keseluruhan RM470 bilion yang menumpukan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi serta sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.

Belanjawan 2026 yang bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat turut mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan