JENAYAH & MAHKAMAH

RM180,000 DIPERUNTUK KEPADA ENAM PBS DI MELAKA

11/10/2025 09:00 PM

ALOR GAJAH, 11 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM180,000 diperuntukkan kepada enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Melaka tahun ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Zaidi Ma'at. 

Beliau berkata usaha itu ke arah melengkapkan dan menambah baik kelengkapan atau peralatan kebombaan PBS supaya dapat membantu JBPM melaksanakan bantuan awal dalam insiden kecemasan.

Balai bomba itu ialah PBS Lubok China, Kuala Sungai Baru, Machap Baru, Batang Melaka, Bukit Senggeh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu.

“Enam PBS ini merupakan pasukan yang aktif membantu tugas kebombaan dan kita juga menyasarkan untuk menambah tiga PBS menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Program Hari Pencegahan Kebakaran Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata perancangan tiga PBS itu termasuk di kawasan Felda Hutan Percha dan Merlimau, mengambil kira kedudukan lokasi itu dari balai bomba terdekat dan masa tindak balas JBPM Melaka.

“Masa tindak balas JBPM Melaka ke lokasi kecemasan ialah 9 minit 30 saat selepas menerima panggilan dan jika lokasi lebih 10 kilometer, kita memerlukan bantuan PBS,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata program Hari Pencegahan Kebakaran Sedunia selama tiga hari bermula Khamis, mendapat penyertaan 11,820 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan antara pengisian program ialah ceramah, pameran dan demonstrasi kebakaran. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan