SUKAN

PEARLY-THINAAH KEKAL BERSAMA BAM HINGGA OLIMPIK LOS ANGELES 2028

10/07/2025 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah kekal bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menandatangani kontrak baharu bersama badan induk sukan itu sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Perkara itu disahkan oleh Presiden BAM Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa pasangan nombor tiga dunia itu telah mencapai kata sepakat selepas melalui rundingan yang konstruktif bersama badan induk sukan badminton negara.

“Saya ingin memaklumkan dan mengumumkan bahawa BAM dan beregu wanita negara kita, Thinaah dan Pearly, telah mencapai persetujuan mengenai isu kontrak mereka.

“Ia merupakan hasil perbincangan yang membina serta mencerminkan komitmen bersama demi masa depan badminton negara. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Thinaah dan Pearly atas kesungguhan mereka.

“Rundingan ini sangat positif dan berpandangan jauh,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Difahamkan, kontrak tersebut telah ditandatangani pada pukul 6.31 petang ini, namun perincian kontrak berkenaan tidak didedahkan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pasangan itu masih belum memperbaharui kontrak bersama BAM selepas tamat tempohnya pada Disember tahun lepas, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depan mereka bersama skuad kebangsaan.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, turut enggan mengulas berhubung laporan media yang mendakwa Pearly-Thinaah bakal menerima pakej bayaran sebanyak RM1 juta seorang setahun menerusi kontrak baharu mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang sewajarnya diberikan ganjaran yang setimpal.

“Mereka berhak untuk meminta. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mahukan lebih kerana itu adalah perkara biasa. Cuma perlu ada rundingan dan penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Thinaah melahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan Tengku Zafrul terhadap mereka berdua.

“Tiada pihak yang sengaja mahu melengahkan urusan kontrak. Ia berlaku kerana jadual kejohanan kami yang padat dan berturut-turut. Tetapi kini kami lega kerana semuanya telah dipersetujui, dan kami hanya mahu fokus ke hadapan,” ujarnya.

Rakannya Pearly pula menyifatkan termeterainya kontrak baharu dengan BAM memberi kelegaan buat mereka untuk terus memberikan fokus penuh terhadap kejohanan-kejohanan besar akan datang.

Mereka dijadual akan beraksi di Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diikuti Terbuka China sebelum Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan