KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Perolehan industri aeroangkasa Malaysia diunjurkan meningkat 20 hingga 25 peratus pada tahun ini daripada RM25.1 bilion (US$5.93 bilion) pada 2024, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata negara juga telah berjaya meraih pelaburan yang diluluskan sebanyak RM1.5 bilion dan mencapai nilai eksport RM8.17 bilion, yang menjadi petunjuk jelas terhadap keyakinan global yang semakin meningkat terhadap keupayaan, daya tahan dan bakat Malaysia dalam sektor ini.
“Sebanyak 30,000 tenaga kerja aeroangkasa kita yang mantap, terus memaparkan kecemerlangan di seluruh rantaian nilai, daripada pembuatan struktur pesawat dan komponen enjin kepada avionik dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta pengintegrasian sistem.
“Pencapaian sedemikian hanya dapat dicapai melalui kekuatan model Triple Helix -- kerajaan, akademia, dan anda, pemimpin industri -- yang bekerjasama secara harmoni untuk melonjakkan sektor aeroangkasa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) 2025 di sini malam ini.
Tengku Zafrul berkata terdapat isyarat positif yang menunjukkan keyakinan industri terutamanya ketika beliau mengiringi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis, yang menyaksikan Malaysia Airlines meningkatkan komitmen terhadap Airbus A330neo dan menggunakan opsyen 20 pesawat tambahan, menjadikan jumlah tempahan pesawat itu kepada 40.
Dalam pada itu, AirAsia telah memeterai perjanjian untuk membeli 50 pesawat Airbus A321XLR, dengan opsyen sebanyak 20 pesawat lagi.
“Langkah ini menyokong hasrat AirAsia untuk mengembangkan operasi ke pasaran jarak jauh kos rendah, khususnya di Eropah dan Amerika Utara, dengan menggunakan pesawat yang lebih jimat bahan api dan dioptimumkan untuk penerbangan jarak jauh.
“Usaha pengembangan kumpulan pesawat ini bukan sahaja menunjukkan keyakinan yang kukuh terhadap Airbus, malah turut memperteguh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi MRO, bekalan alat ganti serta pembangunan bakat dalam bidang aeroangkasa,” katanya.
Tengku Zafrul berkata industri aeroangkasa serantau dan global pada masa ini sedang memasuki fasa transformasi dan pertumbuhan pesat, dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian penerbangan hijau, integrasi sistem digital, dan rantaian bekalan yang berdaya tahan.
Sehubungan itu, katanya Malaysia perlu terus melaksanakan penyesuaian, memimpin dan berinovasi.
“Untuk kekal berdaya saing, kita perlu mengukuhkan kedudukan bukan sahaja sebagai pembekal, malah sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan aeroangkasa global, yang mampu membangunkan teknologi masa depan secara bersama.
“Di sinilah penjajaran antara Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta maklum balas industri masa nyata menjadi penting,” katanya.
Tengku Zafrul menggalakkan MAIA dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO) Malaysia untuk meneruskan kerjasama erat ini, terutamanya dari segi perancangan bakat, penyetempatan teknologi, dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.
Menerusi MAIB 2030 dan NIMP 2030, industri aeroangkasa diiktiraf sebagai sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang akan menyumbang dengan ketara kepada peningkatan kompleksiti ekonomi dan daya saing global negara.
“Dengan hala tuju dasar yang jelas melalui NIMP 2030 dan MAIB 2030, kita berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan ekosistem aeroangkasa kita ke peringkat seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA