Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Tarif tinggi terbaharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi utama ASEAN telah mencetuskan tuntutan kepada perkumpulan itu untuk menghapuskan halangan perdagangan dalamannya.
Ini kerana ahli ekonomi memberi amaran bahawa dasar perlindungan perdagangan boleh menjejaskan daya saing jangka panjang blok itu.
Dua hari selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif baharu sehingga 40 peratus ke atas import dari negara termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand, ahli ekonomi berpandangan ancaman sebenar bukan hanya terletak kepada tindakan Washington semata-mata, tetapi juga kegagalan ASEAN untuk meliberalisasikan perdagangannya dengan menghapuskan halangan bukan tarif.
"ASEAN sama seperti AS dalam erti kata melindungi perdagangan. Jika kita mengkritik dasar perlindungan perdagangan Amerika, kita juga perlu melihat kepada diri kita sendiri," kata ahli ekonomi Geoffrey Williams kepada Bernama sambil memberi amaran bahawa perkumpulan itu perlu bertindak segera menanganinya.
Beliau berkata kejutan tarif AS itu sepatutnya menyedarkan ASEAN untuk akhirnya menghapuskan halangan dalaman yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Williams berkata semua sektor memerlukan liberalisasi, termasuk yang masih dilindungi oleh layanan keutamaan, peraturan perolehan domestik atau monopoli berkaitan kerajaan.
Beliau berkata walaupun terdapat tekanan untuk meliberalisasikan perdagangan, pembaharuan mungkin tertangguh kerana kekangan politik dalaman.
“Kemungkinan besar liberalisasi seterusnya belum lagi dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, walaupun ketika berdepan perubahan realiti global, kerana setiap negara ASEAN mempunyai agenda tersendiri,” katanya.
Williams berkata demikian sebagai memberi reaksinya terhadap tarif terbaharu AS yang dikeluarkan melalui notis rasmi kepada 14 negara, termasuk enam anggota ASEAN, dengan fasa pertama ditetapkan berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Dalam kalangan negara anggota ASEAN, Indonesia akan dikenakan tarif sebanyak 32 peratus, Thailand dan Kemboja masing-masing berdepan tarif sebanyak 36 peratus manakala Malaysia dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.
Kadar tarif tertinggi sebanyak 40 peratus dikenakan ke atas Laos dan Myanmar. Sebaliknya, Indonesia dan Thailand, kadar tarif sedia ada masing-masing kekal pada 32 dan 36 peratus tanpa sebarang perubahan.
Sementara itu, tarif AS yang disemak semula untuk Singapura, Filipina dan Brunei masih belum diumumkan.
Walaupun ASEAN sejak sekian lama menggiatkan usaha untuk menjadi pasaran tunggal dan pusat pengeluaran melalui Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Williams dan Profesor Ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata kemajuannya dihalang oleh keengganan untuk berubah, kepentingan peribadi dan sikap politik yang ragu-ragu untuk menerima pembaharuan yang lebih mendalam.
Yeah berkata, bagi mengimbangi jangkaan penurunan eksport ke AS, penting bagi negara anggota ASEAN untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan dalam rantau ini.
Bagi tujuan ini, beliau berkata keutamaan harus diberikan kepada pengurangan halangan bukan tarif seperti kelulusan produk, pensijilan halal, peraturan perolehan tempatan dan sekatan pelaburan yang pada masa ini menghalang pergerakan bebas barangan, perkhidmatan serta modal dalam rantau ini.
“Kemudahan perdagangan dan pelaburan seperti mempercepatkan pelepasan kastam, mempermudah peraturan dan mempercepatkan kelulusan perniagaan, amat diperlukan bagi membuka potensi penuh ASEAN,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada usaha liberalisasi sektor yang mempunyai potensi integrasi serantau tertinggi termasuk elektrik dan elektronik, minyak dan gas, kayu-kayan, getah, peranti perubatan, farmaseutikal serta industri berteknologi tinggi seperti robotik dan kecerdasan buatan.
Williams dan Yeah sependapat bahawa tarif terbaharu AS seharusnya menjadi titik perubahan yang strategik, sekali gus memacu ASEAN, bukan sahaja mempercepatkan penyepaduan serantau, tetapi turut memperkukuh hubungan ekonomi dengan blok lain menerusi pakatan perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), serta perjanjian kerjasama ASEAN-Kesatuan Eropah (EU).
Ketika ditanya sama ada rangka kerja pelaburan yang mengikat secara undang-undang antara negara anggota ASEAN kini diperlukan, Yeah menegaskan bahawa ia wajar dilaksanakan.
“Sebarang inisiatif dasar serantau yang memudahkan pelaburan rentas sempadan dan mengukuhkan keyakinan pelabur, termasuk akses kepada pembiayaan, akan merangsang pertumbuhan dan penting untuk mengimbangi potensi kehilangan pasaran AS,” katanya.
Sementara itu, Williams menegaskan bahawa ASEAN tidak boleh berlengah lagi meskipun sedang berdepan pelbagai cabaran.
“Pengguna tidak akan menunggu pembaharuan dasar. Perlindungan perdagangan, sama ada di Washington mahupun dalam ASEAN sendiri, akhirnya akan menjejaskan daya saing, pelaburan dan rakyat,” katanya.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 menggesa ASEAN agar memperkukuh integrasi dalaman dengan memperluas perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta mempercepat integrasi sektoral bagi meningkatkan ketahanan dan memastikan rantau ini terus relevan.
“Membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan saling berhubung merupakan satu keperluan strategik yang akan menjadi tonggak ketahanan serta memastikan rantau ini terus relevan untuk dekad-dekad akan datang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia akan terus berpegang teguh kepada pendirian dalam isu penting yang melibatkan kepentingan nasional dan kedaulatan negara dalam rundingan berterusan dengan AS berhubung tarif.
Beliau turut menegaskan bahawa terdapat prinsip tertentu yang tidak akan dikompromi oleh Malaysia sepanjang rundingan tersebut.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan akses pasaran eksport, memodenkan ekonomi negara dan melindungi mata pencarian rakyat Malaysia untuk jangka panjang,” katanya pada sidang media di sini, Rabu, bagi menjelaskan pendirian Malaysia dan langkah seterusnya susulan pengumuman tarif AS baru-baru ini.
-- BERNAMA