EKONOMI

TAN CHONG MOTORS JUAL TANAH KEPADA UNIT AVALAND DENGAN HARGA RM148.8 JUTA

10/07/2025 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCMH) menjual sembilan bidang tanah pegangan bebas berkeluasan kira-kira 12,923.74 meter persegi di Kuala Lumpur dengan harga RM148.8 juta.

Kumpulan automotif itu berkata anak syarikat milik penuhnya Tanahku Holdings Sdn Bhd iaitu pemilik tanah di sepanjang Jalan Putra itu, hari ini memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan anak syarikat tidak langsung Avaland Bhd, Solid Interest Sdn Bhd bagi urusan penjualan berkenaan.

“Penjualan ini akan membolehkan kumpulan memanfaatkan potensi nilai hartanah itu yang kekal memuaskan pada masa ini.

“Hasil jualan ini akan memperteguh kedudukan mudah tunai kumpulan, membolehkannya memenuhi keperluan modal kerja dan menyokong pelaburan dalam projek baharu,” menurut TCMH dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Menurutnya hasil bersih daripada penjualan itu, selepas ditolak semua fi dan perbelanjaan berkaitan, akan digunakan untuk mengukuhkan rizab modal kerja bagi menyokong keperluan operasi serta melabur dalam peluang lain yang selaras dengan objektif jangka panjang kumpulan.

Kuantum dan masa penggunaan dana berkenaan belum dapat dipastikan berikutan ini bergantung kepada jumlah sebenar yang tersedia dan keperluan modal sebenar pada masa itu, katanya.

“Apa-apa bahagian daripada harga penjualan yang belum digunakan akan ditempatkan dalam deposit dengan institusi kewangan atau instrumen pasaran wang jangka pendek.

"Faedah yang diperoleh daripada deposit yang diletakkan atau apa-apa keuntungan daripada instrumen pasaran wang jangka pendek akan digunakan sebagai modal kerja TCMH dan kumpulan syarikatnya," kata TCMH.

Tanahku adalah syarikat pegangan pelaburan hartanah dan hartanah itu adalah aset yang dipegang untuk tujuan pelaburan selama lebih lapan tahun.

Tertakluk kepada pencapaian syarat terdahulu seperti yang ditetapkan dalam SPA, penjualan ini dijangka selesai pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan