SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini mengadakan sesi libat urus bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membincangkan isu kawal selia air di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sesi libat urus yang disertai oleh Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) itu diadakan sempena kunjungan Pengerusi SPAN Datuk Abdul Kadir Mohd Din ke pejabatnya hari ini.
Beliau berkata perbincangan yang berlangsung sebelum sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula itu tertumpu kepada usaha meningkatkan kualiti air dan menangani krisis bekalan di Selangor.
“Ini semua demi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada rakyat menerusi penerapan teknologi dalam pengurusan air,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Amirudin berkata beliau turut diberi penerangan mengenai aspek operasi dan kawal selia yang perlu ditambah baik.
Beliau berkata pertemuan bersama SPAN dan Air Selangor turut membuka ruang kerjasama dalam inovasi, latihan, pendidikan pengguna serta penyelarasan dengan agenda nasional seperti AIR 2040 termasuk fokus kepada kecekapan tenaga, agenda hijau dan pembangunan kapasiti.
“Moga kerjasama strategik ini memberi impak positif kepada sistem bekalan air di Selangor, demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian masa depan,” katanya.
Semalam, SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima permohonan daripada operator perkhidmatan air di sepuluh negeri untuk menyemak semula tarif bekalan air masing-masing.
Menurut SPAN, hingga 30 Jun lepas permohonan yang diterima adalah daripada operator di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Selangor.
Suruhanjaya itu bagaimanapun memaklumkan semua permohonan berkenaan masih dalam proses semakan dan belum dimuktamadkan.
-- BERNAMA