KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Persatuan Air Malaysia (MWA) menyambut baik penjelasan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung permohonan bagi pelarasan tarif air daripada pengendali perkhidmatan di 10 negeri.
Presiden MWA Mohamad Hairi Basri dalam kenyataan berkata infrastruktur bekalan air terutamanya aset fizikal wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas bagi memastikan kelestarian bekalan air.
Beliau berkata industri perkhidmatan air kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi, infrastruktur usang, peningkatan permintaan daripada sektor seperti pusat data dan keperluan untuk mengurangkan air tidak berhasil.
"Selain itu, pelaburan dalam keperluan modal insan perlu dipercepat untuk mengimbangi pembangunan infrastruktur fizikal dan penggunaan lebih banyak teknologi dalam industri air," katanya sambil menambah isu-isu tersebut turut berkait rapat dengan semakan tarif yang sedang dijalankan.
Sepuluh negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang telah mengemukakan permohonan kepada SPAN untuk menyemak semula kadar tarif air mereka.
Bagaimanapun, kesemua permohonan itu masih dalam semakan dan belum dimuktamadkan.
Hairi berkata impak perubahan iklim yang semakin kuat turut memberi tekanan kepada sumber air dan perlu ditangani secara proaktif.
"Corak cuaca tidak menentu, musim kemarau berpanjangan dan banjir kilat telah teruk menjejaskan kualiti dan ketersediaan air mentah. Keadaan ini memerlukan perancangan proaktif, pelaburan berterusan dalam infrastruktur berdaya tahan dan langkah jangka masa panjang untuk memelihara keselamatan air negara," katanya.
Beliau berkata struktur tarif yang adil, telus dan mencerminkan kos penyampaian perkhidmatan sebenar serta memastikan ia mampu untuk orang ramai terutamanya komuniti rentan merupakan satu keperluan asas.
"Ia membolehkan operator menyediakan perkhidmatan air yang boleh dipercayai dan selamat secara mampan sambil mengekalkan standard operasi tinggi dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
MWA juga mengiktiraf komitmen SPAN terhadap proses semakan yang teliti dan seimbang yang mengambil kira kebajikan 27.2 juta pengguna serta kapasiti kewangan dan teknikal pengendali berlesen.
"Persatuan kekal komited untuk menyokong pihak berkepentingan utama, termasuk pengawal selia, kerajaan negeri dan Persekutuan serta pemain industri, untuk membina sektor perkhidmatan air yang berdaya tahan, mampu berdepan cabaran iklim dan mampan di Malaysia,” kata Hairi.
-- BERNAMA