AM

RUU KUALITI BENIH TANAMAN DIJANGKA DIBENTANG TAHUN DEPAN

10/07/2025 04:01 PM

KLANG, 10 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman dijangka dibentang di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat tahun hadapan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi. 

Beliau berkata proses penyediaan RRU itu kini di peringkat libat urus bagi mendapatkan maklum balas pemain industri sebelum dimuktamad dalam usaha memastikan hak petani untuk mendapatkan bekalan benih berkualiti terbela. 

"Akta ini sebenarnya sesuatu yang baik untuk memastikan petani-petani kita membeli benih-benih yang berkualiti sahaja kerana sekarang ini kalau mereka dapat benih yang tidak berkualiti atau lain daripada yang dinyatakan, mereka tidak ada tempat untuk membuat aduan. 

"Setakat ini, kita tiada akta yang khusus untuk ambil tindakan terhadap penjual-penjual benih yang tidak berkualiti," katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2025 di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Terdahulu, Mohamad ketika berucap berkata kerajaan sedang memperkemas undang-undang berkaitan benih bagi memastikan tiada lagi petani yang tertipu dan mengalami kerugian akibat benih palsu atau tidak berkualiti. 

"Walaupun ada petani yang membangkitkan isu undang-undang benih ini, yakinlah bahawa perubahan ini dilaksanakan bukan untuk menekan petani tetapi untuk melindungi dan menjaga kepentingan petani sepertimana usaha kementerian selama ini," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan