EKONOMI

HARI DEMO CYBERVIEW PAMER KEBANGKITAN SYARIKAT PEMULA NIAGA MALAYSIA

10/07/2025 08:50 PM

CYBERJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Sebanyak 10 syarikat pemula niaga Malaysia memperkenalkan produk masing-masing kepada para pelabur pada Hari Demo Kohort 20 Program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) hari ini. 

Kesemua syarikat berkenaan mengetengahkan penyelesaian yang dibangunkan secara tempatan merangkumi pelbagai sektor.

Dianjurkan oleh Cyberview Sdn Bhd, program CLLA bermatlamat membantu syarikat pemula niaga di peringkat awal yang mempunyai produk sedia pasaran bagi menguji, menambah baik dan mempersiapkan penawaran mereka bagi pelancaran komersial.

Sementara itu, Pengerusi Cyberview Datuk Romli Ishak berkata Malaysia perlu membina keyakinan terhadap bakat dan teknologinya supaya tidak terus kekal sebagai sebuah negara pengguna semata-mata.

“Kita mesti percaya kepada teknologi dan produk sendiri supaya dapat keluar daripada menjadi sekadar sebuah negara pengguna yang hanya menggunakan apa yang dicipta oleh orang lain.

"Jika kita terus berada di landasan itu, kita tidak akan ada apa-apa untuk dibanggakan dan tidak akan mampu memajukan negara kita dengan sebenar-benarnya,” katanya dalam ucapan pembukaan Hari Demo di sini hari ini.

Beliau berkata ketika Malaysia bergerak lebih jauh ke dalam era digital, daripada bandar pintar ke Industri 4.0 dan tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI), negara mesti menghentikan kebergantungan yang berlebihan terhadap teknologi asing.

“Kebergantungan ini menjadikan kita terdedah kepada perubahan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan tekanan harga luar seperti yang sedang kita saksikan sekarang di bawah tarif Amerika Syarikat.

"Apabila kita mula mencipta, menyokong dan mengguna pakai teknologi tempatan, kita boleh berubah menjadi hab inovasi dan mengekalkan lebih banyak nilai dalam negara,” katanya.

Romli berkata Cyberview membayangkan Cyberjaya bukan sahaja sebagai hab teknologi Malaysia tetapi sebagai hab global apabila para inovator dari seluruh dunia boleh membangun dan menguji penyelesaian dengan kerjasama bakat tempatan.

Acara tersebut mempamerkan syarikat pemula niaga dalam menangani keutamaan negara seperti tenaga mampan, teknologi kesihatan, automasi pintar dan keterangkuman digital selari dengan usaha Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan dipacu inovasi.

ADA Biotech Sdn Bhd yang menghasilkan produk boleh terurai secara semula jadi daripada sisa pertanian dinamakan sebagai syarikat pemula niaga pilihan juri, mengalahkan sembilan syarikat pemula niaga lain untuk memenangi hadiah utama sebanyak RM5,000.

Sepanjang program tersebut, syarikat pemula niaga berjaya meraih jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM3.8 juta daripada pelbagai rakan pembiayaan.

Antara rakan kerjasama dalam program ini ialah Cradle, MDEC, Leave a Nest, Nexea, MRANTI, MDV, MTDC, MBAN, pitchIN, Ata Plus Malaysia, 1337 Ventures, Petronas, Vynn Capital, The Hive Southeast Asia, MVCA dan Maxis.

Kohort 20 CLLA bermula dengan 24 syarikat pemula niaga peringkat awal iaitu Fasa 1 pada Februari kemudian menyusut kepada 17 pada Fasa 2 sebelum memilih 10 untuk membentangkan produk mereka di pusingan akhir Hari Demo.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan