EKONOMI

SELANGOR, MAHB RANGKA LIMA STRATEGI  SAP TARIK PELABUR ASING BERIMPAK TINGGI 

09/07/2025 02:41 PM

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor bersama-sama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah merangka dan melaksana lima strategi bersepadu untuk memastikan projek Selangor Aero Park (SAP) @KLIA Aeropolis berupaya menarik pelaburan asing berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata untuk itu, kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor melaksanakan strategi pertama dengan penyediaan ekosistem bertaraf dunia serta akses pasaran global menerusi kehadiran syarikat utama Airbus Helicopters, GE Aviation dan Spirit AeroSystems.

“Kita dapat menyediakan ekosistem berfokus masa depan yang menggalakkan inovasi melalui akses kepada sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemudahan khusus bertaraf tinggi serta peluang kerjasama bersama institusi akademik dan rakan industri terkemuka.

"Kita yakin persekitaran sebegini akan mempercepatkan pembangunan teknologi dan proses pengkomersialan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) yang ingin tahu langkah kerajaan negeri untuk memastikan SAP berjaya menarik pelaburan asing berimpak tinggi dalam sektor aeroangkasa di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ng berkata SAP disokong oleh sistem tadbir urus yang berfokus kepada pelabur, melibatkan penyelarasan yang lebih pantas dan efisyen di antara peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Hal ini akan mempercepatkan proses penempatan syarikat dan pembangunan fizikal yang turut melibatkan kelulusan pembangunan, perlesenan, dan lain-lain,” katanya.

Di samping itu, Ng berkata pengukuhan program pembangunan bakat dan tenaga kerja bagi industri aeroangkasa antaranya membabitkan penubuhan Aerospace Talent Centre sebagai hab pembangunan bakat khusus dan pelaksanaan program pembangunan kemahiran masa hadapan melalui kerangka MyAERO di peringkat nasional.

Strategi selanjutnya adalah penciptaan kemudahan logistik bersepadu dengan sambungan jajaran pengangkutan multimodal dengan kedudukan SAP terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terakhir, penyediaan kemudahan penyelidikan dan pembangunan bagi memacu inovasi serta kemajuan teknologi.

Dalam pada itu, Ng berkata SAP merupakan satu daripada inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, dengan potensi mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan menjelang 2030. 

“Kerjasama strategik antara MBI dan NAICO akan memperkukuh ekosistem modal insan sektor ini melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat serantau,” katanya.

MBI dan MAHB turut giat menjalankan rundingan dengan pemain industri aeroangkasa global bagi menempatkan operasi mereka di Selangor. 

Katanya, fokus rundingan antara lain melibatkan sektor berketepatan tinggi, bidang MRO (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih), teknologi penerbangan serta logistik pintar untuk memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri aeroangkasa Selangor.  

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan