SEPANG, 9 Julai (Bernama) -- Dua individu disyaki terbabit dalam kes pembunuhan penuntut universiti swasta di Cyberjaya pada 24 Jun, akan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, di sini esok.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman menerusi kenyataan hari ini berkata pihaknya telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes bunuh tersebut.
Beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya Selangor mengeluarkan arahan pertuduhan terhadap suspek lelaki dan wanita.
“Suspek lelaki dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek wanita dituduh di bawah Seksyen 109/302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
“Dua lagi suspek dibebaskan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata penahanan empat individu termasuk suspek utama, iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.
Mangsa yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dan berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya pada 10 pagi, 24 Jun.
Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.
-- BERNAMA