AM

SELANGOR PERUNTUK HINGGA RM16 JUTA SETAHUN PERKASA PROGRAM TVET

09/07/2025 12:18 PM

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor memperuntukkan hingga RM16 juta setahun bagi pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran belia termasuk anak muda komuniti India.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata peruntukan itu meliputi penajaan pelatih di institusi TVET seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dalam program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Kemahiran Profesional dan Kursus Kemahiran Jangka Pendek.

“Setiap tahun, kerajaan negeri melahirkan antara 1,200 hingga 1,500 pelatih daripada STDC dalam pelbagai bidang ditawarkan dan sentiasa memberi peluang adil kepada setiap warga Selangor yang layak, termasuklah kaum India untuk menerima tajaan latihan di institusi ini. 

“Berdasarkan rekod, antara 30 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah pemohon di STDC setiap tahun terdiri daripada kaum India. 

“Peratusan ini menunjukkan trend peningkatan saban tahun yang didorong oleh galakan daripada ahli keluarga dan inspirasi yang diperoleh daripada rakan-rakan yang telah berjaya menyertai dan menamatkan latihan di STDC,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (PH-Kota Damansara) berkenaan perancangan kerajaan untuk memberi peluang lebih banyak kepada anak muda India ke industri TVET dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.  

Papparaidu berkata selain penajaan, peruntukan berkenaan turut digunakan bagi pembangunan modul TVET serta pelaksanaan program jaringan kerjasama dengan institusi dan industri di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

“Usaha ini bertujuan memperkukuh sistem TVET dan memastikan institusi seperti STDC sentiasa berada pada tahap optimum selari dengan perkembangan teknologi semasa supaya pelatih bersedia menghadapi suasana kerja sebenar dalam industri

“Justeru, rakyat Selangor termasuk anak muda komuniti India boleh memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan negeri,” katanya. 

Dalam pada itu, Papparaidu berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM15 juta bagi pelaksanaan program dan inisiatif khusus untuk masyarakat India. 

Beliau berkata ia termasuk RM4.43 juta peruntukan bagi Program Pemberian Bantuan Baucar Jom Shopping bersempena sambutan Deepavali tahun ini, dijangka memanfaatkan 22,150 penerima komuniti India dalam kalangan B40. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan