DUNIA

OPERASI PEMBENIHAN AWAN DILAKSANAKAN BAGI LINDUNGI JAKARTA RAYA DARIPADA HUJAN LEBAT

10/07/2025 12:02 AM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Julai (Bernama) -- Indonesia melaksanakan operasi pembenihan awan bagi mengalihkan hujan daripada kawasan Jakarta Raya antara 7 hingga 11 Julai dalam usaha mengelakkan banjir ketika hujan lebat berterusan, menurut pegawai pada Rabu.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) berkata terdapat potensi hujan sederhana hingga lebat di Jakarta, Jawa Barat, Banten dan kawasan sekitar.

“Pemerhatian lapangan selepas operasi menunjukkan tiada hujan di Jakarta, Bekasi dan kawasan berdekatan pada Selasa,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.

Pada Isnin, kira-kira 800 kilogram natrium klorida (NaCl) disebarkan di kawasan pesisir Banten dan Lebak, diikuti 2,000 kilogram pada Selasa di perairan selatan Jawa Barat dan Laut Jawa utara bagi mengurangkan pembentukan awan yang boleh mencetuskan hujan di pusat bandar.

Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), ancaman cuaca ekstrem di Jakarta Raya dijangka semakin reda dalam tempoh tiga hari akan datang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan