KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berusaha membimbing pengeluar perabot tempatan memperoleh Sijil Perabot Hijau sebagai kelebihan strategik di pasaran global yang semakin mementingkan produk mesra alam dan selamat.
Perabot hijau merujuk kepada perabot yang dihasilkan menggunakan bahan lestari, proses mesra alam, dan boleh dikitar semula dengan impak minimum terhadap alam sekitar.
Pengarah Urusan Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM Hashim W. Samsi berkata pensijilan berkenaan dapat menjamin kualiti perabot serta menarik minat pembeli, sekali gus menempatkan perabot Malaysia setaraf dengan produk antarabangsa.
“Pengeluar perabot di Malaysia akan mencipta kelebihan untuk bersaing dengan pasaran perabot antarabangsa sekiranya menawarkan produk yang bukan sahaja mempunyai reka bentuk menarik tetapi berkualiti untuk kesihatan dan persekitaran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pensijilan perabot hijau juga sejajar dengan hasrat kerajaan dalam merealisasikan pertumbuhan ekonomi hijau dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Mengulas lanjut, Hashim berkata potensi memperkasakan industri perabot hijau Malaysia amat besar kerana negara ini memiliki kekayaan sumber seperti pokok kayu, buluh, rotan dan pelbagai bahan serat semula jadi.
Selain itu, beliau berkata beberapa faktor lain seperti permintaan global dan domestik yang meningkat, sokongan dasar dan insentif kerajaan, akses kepada bahan mentah lestari serta inovasi dalam reka bentuk dan teknologi hijau turut menjadi penyumbang utama kepada potensi perabot hijau di Malaysia.
Hashim berkata pasaran perabot hijau juga menawarkan beberapa faedah khusus untuk pengeluar termasuk kecekapan kos menerusi pengurangan penggunaan tenaga dan pengeluaran sisa.
"Tujuh hingga lapan tahun lepas, Malaysia adalah antara 10 negara pengeluar perabot terbesar di dunia. Perabot hijau ini bukan sahaja dapat menggalakkan SDG, malah dapat membantu menempatkan semula negara ini sebagai antara pengeluar perabot terbesar di dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Hashim berkata FRIM menawarkan pensijilan itu dalam usaha menggerakkan syarikat pengeluar perabot di negara ini ke arah menghasilkan perabot hijau berkualiti dengan lebih pantas.
Beliau berkata bagi memenuhi keperluan pensijilan itu, pihak syarikat perlu mengemukakan bukti berkaitan mengenai bahan mentah yang digunakan dalam proses pembuatan perabot untuk tujuan pengesahan.
"Pensijilan perabot hijau FRIM mempunyai dua tahap dengan tahap satu melibatkan verifikasi ke atas bahan mentah dan ujian prestasi produk iaitu keselamatan.
“Tahap dua pula melibatkan verifikasi ke atas bahan mentah dan ujian prestasi produk iaitu keselamatan dan kesihatan," katanya.
-- BERNAMA