AM

SPESIES POKOK BAHARU DITEMUKAN DI HUTAN SIMPAN PASOH - FRIM

08/07/2025 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Spesies pokok baharu, Timonious pasohensis telah ditemukan di Hutan Simpan Pasoh, Jelebu, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Ismail Parlan berkata spesies yang jarang jumpa itu dikumpul semasa bancian semula pertama plot Pasoh seluas 50 hektar pada 1985 dan baru-baru ini diterbitkan sebagai spesies baharu pada 2024.

“Penubuhan plot ekologi kekal membolehkan penyelidik mengkaji demografi dan dinamik hutan dalam jangka masa panjang. Plot demografi jangka panjang seluas 50 hektar di Pasoh ini merupakan yang kedua tertua dalam kalangan 78 plot besar lain di seluruh dunia.

“Semua pokok dengan diameter aras dada (dbh) 1 sentimeter (cm) dan ke atas diukur, dipetakan, ditanda dan dikenal pasti. Bancian pokok dijalankan setiap lima tahun,” katanya dalam ucapan pembukaan Seminar Pasoh 2025 yang bertemakan ‘Pasoh: Makmal Penemuan Alam Semula Jadi’ di sini hari ini.

Beliau berkata penyelidikan di Hutan Simpan Pasoh bermula sejak 1964 dan pada 1970, Stesen Penyelidikan FRIM Pasoh (SPF Pasoh) ditubuhkan bagi menjalankan kajian ekologi hutan tanah pamah tropika.

Ismail berkata kawasan seluas 1,840 hektar di Hutan Simpan Pasoh telah diwartakan sebagai hutan penyelidikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan pada 1977.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia melalui Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan atas sokongan berterusan terhadap aktiviti penyelidikan di negeri itu,” katanya.

Beliau berkata bilangan aktiviti penyelidikan yang dijalankan di Pasoh semakin meningkat apabila FRIM bekerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa seperti Akademi Sains Malaysia (ASM), Forest Global Earth Observatory (ForestGEO), Institut Kajian Alam Sekitar Nasional, Universiti Hiroshima, Universiti Kyoto serta Institut Penyelidikan Perhutanan dan Produk Hutan Jepun.

“Susulan daripada kerjasama ini, beberapa plot kajian jangka panjang telah diwujudkan dan fokus penyelidikan telah berkembang daripada ekologi kepada aspek lain seperti hidrologi, iklim dan zoologi,” katanya.

Ismail berkata selain daripada ekologi pokok, kajian pemantauan fauna turut dijalankan di Pasoh melalui projek penyelidikan Penilaian dan Pemantauan Ekologi Tropika (TEAM) yang merupakan antara 16 rangkaian plot kajian di seluruh dunia yang terlibat dalam penyelidikan ini dengan 60 kamera telah dipasang untuk merakam imej fauna yang ditemukan di hutan ini.

“Sejak 2011, pelbagai spesies fauna telah dirakamkan termasuk spesies yang dikategorikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN),” katanya.

Selain itu, Projek Penyelidikan Inisiatif Karbon dijalankan untuk menentukan jumlah karbon di dalam hutan serta mekanisme yang menyebabkan variasi masa dan ruang dalam perubahan simpanan karbon di hutan Pasoh.

Satu lagi kajian jangka panjang yang dijalankan secara berterusan di SPF Pasoh ialah Projek Pemantauan Benih dan Anak Benih yang diketuai oleh penyelidik Universiti Nasional  Dong Hwa, Taiwan sejak 2001, iaitu usaha sama antara FRIM, CTFS-ForestGEO dan STRI.

Beliau berkata projek baharu di bawah ForestGEO di Pasoh ialah “Mengintegrasikan data fisiologi dan demografi untuk meningkatkan ramalan dinamik hutan tropika dalam Model Sistem Bumi” (NGEE Tropics) yang mengkaji kesan perubahan alam sekitar terhadap fisiologi tumbuhan.

“Kajian ekologi semakin mendapat perhatian yang tinggi berikutan peningkatan cabaran alam sekitar yang dihadapi oleh manusia, seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pengurusan sumber.

“Dengan ini, sebuah menara aluminium setinggi 52 meter dibina di SPF Pasoh untuk memasang peralatan penyelidikan yang digunakan untuk merekod pelbagai jenis data seperti suhu, angin, hujan, dan radiasi cahaya matahari. Data ini digunakan untuk mengkaji kesan perubahan iklim terhadap persekitaran hutan,” katanya.

Ismail berkata sejak penubuhannya, penerbitan hasil penyelidikan di Pasoh telah melebihi 411 termasuk jurnal, buku, prosiding dan kertas teknikal serta separa teknikal lain, manakala jumlah Faktor Impak terkumpul daripada artikel jurnal melebihi 675,734 mata dengan empat penerbitan mencatatkan Faktor Impak melebihi 35 mata.

Seiring dengan peningkatan aktiviti penyelidikan, infrastruktur dan kemudahan di stesen Pasoh juga telah dipertingkatkan dengan sebuah bangunan baharu yang sedang dibina di stesen berkenaan untuk menyokong pelbagai aktiviti penyelidikan dan ruang kerja, termasuk pejabat, bilik mesyuarat, makmal, dan herbarium mini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM Dr Mohd Zaki Abdullah dalam ucapan alu-aluan berkata seminar ini bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai kajian yang dijalankan di Hutan Simpan Pasoh.

Beliau berkata 108 peserta telah mendaftar untuk acara berkenaan, mewakili 12 agensi dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan