AM

FRIM TERAJUI PENYELIDIKAN PEMULIHARAAN POPULASI KELIP-KELIP NEGARA

04/07/2025 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Populasi kelip-kelip yang mudah terancam menjadi fokus utama Program Biodiversiti Fauna, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), yang menjalankan pelbagai penyelidikan bagi tujuan pemuliharaan spesies serangga itu.

Ketua program Dr Nada Badruddin berkata kelip-kelip diancam oleh pelbagai faktor persekitaran termasuk hakisan tebing sungai, pencemaran sisa pepejal, pembukaan tanah untuk pertanian serta pencemaran cahaya buatan yang mengganggu isyarat cahaya bagi menarik pasangan serangga berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini sempena sambutan Hari Kelip-Kelip Sedunia yang disambut setiap hujung minggu pertama bulan Julai, Nada berkata perubahan iklim juga berpotensi menjejaskan habitat serangga itu menerusi kejadian banjir, kemarau, perubahan suhu dan gangguan terhadap biopencahayaan kelip-kelip.

“Melindungi habitat semula jadi kelip-kelip bukan sahaja penting untuk pengekalan khazanah alam, malah menyumbang manfaat kepada ekonomi setempat melalui aktiviti ekopelancongan dan mewujudkan pembangunan kawasan yang mampan kepada rakyat serta persekitaran,” katanya.

Nada berkata di bawah program itu tumpuan diberikan kepada biodiversiti, taksonomi, ekologi dan pemuliharaan serangga serta menerajui usaha penyelidikan pemuliharaan kelip-kelip di negara ini.

Beliau berkata antara tumpuan adalah penyelidikan jangka panjang berkenaan kelip-kelip jenis Pteroptyx tener yang dominan di Sungai Selangor, Kuala Selangor melibatkan pembiakan dalam makmal untuk memahami kitar hidup, keperluan habitat dan tingkah laku pemangsaan larva.

“Penemuan telah menunjukkan bahawa peringkat larva adalah paling lama dalam kitaran hidup kelip-kelip dan vegetasi semula jadi tebing sungai adalah habitat penting untuk perkembangan dan kemandirian spesies ini, melebihi kebergantungan semata-mata kepada pokok berembang (Sonneratia caseolaris),” katanya.

Selain itu, FRIM turut mengenal pasti keperluan spesifik habitat seperti ketersediaan siput sebagai sumber makanan utama larva dan kawasan yang sesuai untuk kelip-kelip bertelur.

Beliau berkata usaha membangunkan kaedah pemantauan mesra kelip-kelip sekitar 2006 hingga 2007 turut dilaksanakan secara bulanan di tujuh stesen pemantauan tetap di sepanjang Sungai Selangor sehingga 2023.

“Menerusi pemantauan itu, data jangka panjang menunjukkan penurunan populasi kelip-kelip sebanyak 22.7 peratus menjelang 2021,” katanya, sambil menambah kadar itu didapati semakin melandai dan mula menunjukkan tanda pemulihan.

Nada berkata perkembangan positif itu berkemungkinan disumbangkan oleh pewartaan Zon Perlindungan di habitat kelip-kelip di Kuala Selangor oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pengurusan sungai yang lebih baik.

“Tapak rintis penanaman semula di Tanjung Beluntas berdekatan jeti kelip-kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor turut menunjukkan peningkatan populasi secara beransur-ansur,” katanya.

Beliau berkata hasil penyelidikan itu telah membawa kepada pembangunan Pelan Tindakan Pemuliharaan Kelip-Kelip Sungai Selangor 2022-2030, yang kini dijadikan sebahagian daripada strategi pengurusan di bawah Rancangan Pengurusan Lembangan Sungai Selangor oleh LUAS.

“Pelan ini merangkumi strategi pembangunan terkawal, ekopelancongan lestari, penglibatan komuniti setempat dalam pemuliharaan dan pembiayaan mampan,” katanya.

Nada berkata pendekatan berasaskan sains dan keterlibatan aktif bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan seperti yang diamalkan FRIM membuktikan pemuliharaan kelip-kelip mampu dilaksanakan secara mampan dengan kerjasama semua pihak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan