ALOR SETAR, 6 Julai (Bernama) -- Enam beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga yang lain sejak Sabtu lepas.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga yang lain di Taman Aman di Jitra.
Menurut adik kepada Mohd Azim Ezzat, Nur Adliah Shuhada, 20-an, abangnya sekeluarga datang bermalam di rumahnya seperti kebiasaan pada Jumaat.
“Saya sangka mereka dah pulang ke Jerlun sebab abang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan biasanya akan keluar awal pagi dan kakak ipar pula berniaga. Bila ibu mentua abang hubungi saya dan beritahu mereka tak sampai ke rumah, saya mula bimbang dan cuba hubungi mereka tapi gagal.
“Kemudian saya dapat maklumat mengenai sebuah kereta Proton Saga di dalam Sungai Korok (di Jitra), tetapi nombor pendaftaran tak sama dengan kereta abang,” katanya di sini.
Nur Adliah Shuhada berkata sehubungan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jitra berhubung kehilangan keluarga abangnya itu.
“Saya juga ada buat hebahan mengenai kehilangan mereka di Facebook dan setakat pukul 10.30 malam ini, mereka masih gagal dikesan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pasangan suami isteri bersama empat anak mereka.
-- BERNAMA