KUALA TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong dekat Kuala Nerus sejak Selasa lepas, ditamatkan secara rasmi malam ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi carilamat ke atas Mohd Noor Abdullah ditamatkan pada 7 petang tadi setelah tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh meskipun operasi memasuki hari ketujuh hari ini.
“Operasi pencarian hari terakhir hari ini melibatkan Kapal Maritim Rawa dan Bot Pengawal 16 yang digerakkan sejak 7 pagi tadi.
“Pencarian difokuskan di kawasan seluas 148.95 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Kapas, namun tiada penemuan signifikan direkodkan hingga operasi ditamatkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Mohd Noor dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar menangkap ikan kira-kira 2 petang, Selasa lepas.
Sepanjang operasi pencarian diadakan, beberapa barangan dipercayai milik mangsa ditemui terapung antaranya tong ikan berwarna jingga dan pelapik tempat duduk dalam bot.
-- BERNAMA