AM

WARGA EMAS HILANG KETIKA BERKEBUN DI DUSUN DURIAN

29/06/2025 11:52 PM

GEORGE TOWN, 29 Jun (Bernama) -- Seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun dilaporkan hilang selepas keluar berkebun di dusun durian di Sungai Ara, Changkat Sungai Ara 1, Bayan Lepas dekat sini petang tadi. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa dikenali sebagai Daud.

“Bomba menerima panggilan daripada pihak polis pada 6.04 petang yang memaklumkan seorang lelaki dikhuatiri hilang di dalam hutan ketika melakukan aktiviti berkebun dan mencari buah di dusun durian tersebut.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru kemudian telah digerakkan ke lokasi bagi membantu dalam operasi pencarian namun setakat ini, mangsa masih belum ditemukan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata turut terlibat dalam operasi itu ialah Angkatan Pertahanan Awam manakala operasi ditangguh pada 8 malam ini dan disambung semula 8 pagi esok.      

“Bagaimanapun, pencarian oleh pihak polis dan sumber lain masih diteruskan dengan berpandukan maklumat daripada keluarga mangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan