KLUANG, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang berselindung di sebalik aktiviti pusat timbang kelapa sawit di Machap dekat sini, Rabu lepas.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata taktik itu terbongkar menerusi serbuan bersama KPDN Putrajaya pada 8 malam apabila pihaknya menemukan 1,176 tong kosong dan berisi gas dengan anggaran berat 4,000 kilogram (kg) bernilai RM200,000 serta sebuah tangki lori.
“Modus operandi sindiket ini ialah menjadikan sebuah stor lama di belakang pusat timbang dan pengumpulan kelapa sawit untuk aktiviti memindahkan LPG bersubsidi 14kg ke tangki lori dengan kaedah yang dikenali sebagai 'decanting'.
“Dipercayai gas berkenaan digunakan untuk sektor perindustrian dan siasatan lanjut masih dilakukan sama ada untuk pasaran tempatan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata dua pekerja terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warganegara Indonesia berusia 30-an turut ditahan susulan serbuan itu.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA