JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap seekor gajah liar jantan di Sungai Cemaran, Desaru dekat Kota Tinggi, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata penangkapan itu susulan operasi Unit Tangkapan Gajah Johor sejak Isnin lepas di Tanjung Sedili dan kawasan sekitarnya.
"Gajah yang ditangkap ini merupakan sebahagian daripada kumpulan utama ‘ID Panti’ yang terpisah di kawasan berkenaan dan telah memasuki serta memusnahkan kawasan kebun buah-buahan di Desaru Fruit Farm minggu lepas," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ling berkata kumpulan gajah itu juga telah mendatangkan konflik di ladang buah-buahan di sekitar Desaru Fruit Farm beberapa minggu lepas.
-- BERNAMA