KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Dasar peralihan tenaga Malaysia perlu disesuaikan dengan realiti negara serta keupayaan tempatan dan bukan sekadar mematuhi tekanan antarabangsa, kata Pengerusi Malakoff Corporation Bhd, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Yang paling utama adalah memastikan keselamatan serta bekalan tenaga yang stabil kepada penduduknya yang semakin berkembang, yang kini mencecah 34.6 juta.
Walaupun Malaysia menyokong peralihan global ke arah tenaga bersih, negara perlu mengamalkan strategi pragmatik yang mencerminkan keterbatasan dan tuntutan tenaga sendiri.
"Kita boleh ikut trend global tetapi yang lebih penting adalah dasar kita mesti sesuai dengan Malaysia," katanya, mengulangi seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi pendekatan yang pragmatik serta seimbang dalam menjamin peralihan tenaga yang saksama untuk Asia.
Perdana Menteri menekankan bahawa pendekatan ini adalah penting untuk pembangunan berterusan di rantau ini, di tengah-tengah peralihannya ke arah tenaga yang boleh baharu.
Che Khalib yang muncul dalam program "The Nation" Bernama TV hari ini berkata orang ramai sering mengaitkan Rangka Kerja Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan tenaga solar tetapi keupayaan Malaysia untuk solar berskala adalah terhad oleh saingan penggunaan tanah selain cahaya matahari yang tidak konsisten.
"Di Malaysia, tanah juga diperlukan untuk pengeluaran makanan dan pemuliharaan hutan, kita tidak sama macam Timur Tengah, yang mana ladang solar boleh dibina di padang pasir, kita perlu mengimbangi keutamaan kita di sini," katanya.
Beliau menegaskan tenaga solar, walaupun penting, tidak dapat menjadi sumber kuasa yang dipercayai berikutan keadaan cuaca yang sentiasa berunbah termasuk menekankan keperluan bagi meningkatkan kecekapan bahan api fosil dalam jangka pendek hingga sederhana, dan bukan meminggirkan sepenuhnya bahan itu.
"Sebagai contoh kereta, tiga puluh tahun lepas, enjin 2.0 liter dianggap kurang berkuasa. Hari ini, kereta 1.0 liter mempunyai prestasi yang lebih. Sama juga, loji tenaga fosil perlu dinaik taraf untuk menghasilkan lebih banyak tenaga tetapi kurang pencemaran," kata beliau.
Keselamatan tenaga adalah mustahak, katanya sambil memetik Sepanyol dan Portugal sebagai contoh. Kedua-dua negara berhadapan krisis tenaga selepas penjanaan solar mereka tiba-tiba menyusut akibat perubahan cuaca.
"Mereka meraikan pencapaian 100 peratus tenaga boleh baharu dalam sehari tetapi apabila pengeluaran solar turun dari 18,000 kepada 8,000 megawatt pada hari berikutnya, sistem sedia ada tidak dapat menangani keperluan mereka," katanya.
Che Khalib berkata walaupun Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 di bawah NETR, ia mesti mengekalkan bekalan tenaga yang selamat dan stabil sepanjang peralihan.
"Pada pendapat saya, dalam tempoh 50 tahun akan datang, kita masih akan bergantung kepada bahan api fosil, kita tidak boleh membuang keupayaan ini secara terburu-buru," katanya.
Beliau mengakui walaupun isu kitaran panel solar tetap menjadi persoalan, teknologi itu dijangka berkembang.
"Kebanyakan panel solar memiliki jangka hayat sekitar 20 tahun. Kaca pada panel sudah tentu boleh dikitar semula dan saya percaya dalam 20 tahun ini, seluruh komponen panel akan mampu dikitar kembali. Kita bawa masuk teknologi ini, penyelesaian pelupusan akan datang kemudian."
Beliau menyatakan sokongan untuk meneroka penggunaan tenaga nuklear sebagai pilihan yang boleh dipercayai dalam jangka panjang.
"Jika kita serius tentang tenaga yang lestari dan boleh dipercayai, maka nuklear harus dipertimbangkan. Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji dengan serius," kata Che Khalib lagi.
--BERNAMA