AM

ANWAR UCAP TAHNIAH KEPADA SK PUTRAJAYA PRESINT 11 (1), FINALIS ANUGERAH SEKOLAH TERBAIK DUNIA

19/06/2025 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) kerana dipilih sebagai 10 finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025.

"Tahniah buat warga pendidik dan anak-anak SK Putrajaya Presint 11 (1) atas pengiktirafan ini. Usaha dan dedikasi kalian menjadi inspirasi kepada semua," katanya dalam hantaran di X.

SK Putrajaya Presint 11 (1) dilaporkan tersenarai sebagai satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat.

Penganjur anugerah itu T4 Education dalam kenyataan di laman webnya berkata menerusi aplikasi mudah alih HELPIE, sekolah rendah itu berjaya memecahkan tembok yang menjadi penghalang pemantapan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup.

Direka dan dibangunkan oleh pelajar untuk pelajar, HELPIE menjadikan sokongan kesihatan mental boleh diakses, interaktif, menarik dan yang paling penting, menyeronokkan.

“Gamifikasi menjadikan kesedaran emosi menyeronokkan dan menarik, alatan penilaian kendiri ini membantu pelajar melihat tahap tekanan semasa mereka dengan mudah, dan mengenal pasti pencetus emosi dan titik tekanan, dengan fungsi ‘chat’ yang dipautkan kepada ahli terapi dalam talian, ia memberikan pelajar akses kepada bimbingan dan kaunseling yang pantas 

"Kad bercetak, dipasangkan dengan aplikasi, menyediakan aktiviti berpandu yang membawa kandungan ke dalam konteks dunia sebenar, membolehkan kanak-kanak bermain secara individu atau berkumpulan dan menggalakkan perbincangan terbuka tentang emosi," katanya.

Bagi memastikan pelajar yang mempunyai sumber digital terhad tidak ketinggalan, aplikasi itu dipasang pada tablet yang disediakan oleh sekolah, menjadikan ia boleh diakses oleh kanak-kanak sepanjang hari semasa di sekolah.

"Sejak pelaksanaan, sekolah berkenaan telah melihat penurunan 60 peratus dalam tahap tekanan pelajar. Lebih 90 peratus pelajar dilaporkan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai emosi mereka, dan 87 peratus mengatakan mereka memahami tahap tekanan mereka dengan lebih baik. 

T4 Education berkata dengan memastikan kesedaran teknologi dan emosi berjalan seiring, SK Putrajaya Presint 11 (1) telah mewujudkan ruang pembelajaran yang seimbang dan menggembirakan, dan kanak-kanak berasa selamat serta difahami dalam persekitaran, dan mereka boleh berkembang maju.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan